Home » Masidi terima kunjungan delegasi kedutaan AS
Berita Tempatan Politik

Masidi terima kunjungan delegasi kedutaan AS

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata beliau mengalu-alukan delegasi dari Kedutaan AS dengan harapan lebih banyak peluang perniagaan dan ekonomi Amerika Syarikat-Sabah akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Kota Kinabalu : Delegasi Kedutaan Amerika Syarikat yang diketuai Kaunselor Ekonomi Susan Riggs mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun pada hari Rabu.

Pada kunjungan yang diadakan di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini, Masidi telah berkongsi pandangan mengenai perkembangan ekonomi, politik dan sosial semasa Sabah.

Selain itu, Masidi turut berkongsi pandangan dengan delegasi itu berhubung rancangan Kerajaan Negeri yang akan datang dan masa depan.

 “Saya gembira Sabah mengekalkan hubungan kerja dan sosial yang baik dengan Amerika Syarikat.

“Saya mengalu-alukan delegasi dari Kedutaan AS dengan harapan lebih banyak peluang perniagaan dan ekonomi Amerika Syarikat-Sabah akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.

Isu dan topik lain yang dibincangkan semasa kunjungan itu termasuklah mengenai industri pelancongan Sabah, perkembangan masa depan, pengeluaran dan bekalan tenaga, keselamatan makanan, industri minyak dan gas, komunikasi digital, pembuatan dan perkara yang melibatkan kepentingan awam.

Hadir sama, Pegawai Ekonomi Kedutaan AS, Michael Marcous, Pakar Ekonomi, Sharon Tan dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair. 

— EDITOR