Home » Bajet 2023: Sabah tidak terpinggir dari arus kemajuan perdana negara – Bung
Berita Tempatan

Bajet 2023: Sabah tidak terpinggir dari arus kemajuan perdana negara – Bung

Bung (kiri) bersama Ahli Parlimen Bintulu, Dato Seri Tiong King Sing menunjukkan isyarat bagus sebelum pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

KOTA KINABALU:  Peruntukan yang disediakan untuk Sabah dalam Bajet 2023 membuktikan membuktikan negeri ini tidak terpinggir dari arus kemajuan perdana negara, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, bajet kali ini bersifat menyeluruh, inklusif dan memihak kepada rakyat khususnya untuk memulihkan ekonomi negara  

Katanya, dalam Bajet 2023 Sabah yang memperolehi peruntukan sebanyak RM 6.3 bilion bagi tujuan perbelanjaan pembangunan dimana ia merupakan peningkatan sebanyak RM1.14 juta berbanding dengan tahun ini sebanyak RM5.16 bilion yang sudah tentu turut membantu mempercepatkan pelaksanaan  pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ)  yang dirancang oleh Kerajaan Negeri.

“Ini menunjukkan Kerajaan prihatin terhadap keperluan penduduk luar bandar yang mahukan pembaharuan terutama di Sabah dalam usaha kita menjayakan Pelan Pembangunan (SMJ) agar ianya bergerak pentas,” katanya ketika diminta memberikan maklum balas terhadap Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lepas.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya turut menyambut baik Bajet 2023 yang memperuntukan sejumlah RM16.5 bilion bagi sektor pengangkutan dan berharap dari jumlah tersebut keutamaan perlu diberikan kepada penyiapan projek Pan Borneo Sabah yang dijanjikan siap pada 2024.

“Kerajaan Negeri mengharapkan agar dari jumlah peruntukan bagi sektor pengangkutan keutamaan perlu diberikan perhatian kepada penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah yang kemajuanya agak perlahan berbanding di Sarawak,” katanya  

Menurut Bung, penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo, pembinaan jalan raya menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris di Indonesia dan RM250 juta peruntukan untuk membangunkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar bukan sahaja meningkatkan  kemudahan asas yang lebih baik kepada rakyat di negeri ini sekali gus ia menjadi pembangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Dengan perpindahan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur, perpindahan rakyat Indonesia dari kepulauan Jawa dijangka berlaku secara besar-besaran, maka tempias ekonomi akan turut melanda negeri ini khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut menyambut baik peruntukan sebanyak RM2.55 bilion untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang diharapkan dapat menyelasaikan masalah keperluan infsfrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, jambatan dan lain-lain yang masih diharapkan oleh rakyat di negeri ini.

Bagi mempercepatkan lagi proses pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini, sekali lagi megulangi cadangan beliau sebelum ini agar peruntukan yang disediakan dapat disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri untuk diselaraskan oleh jabatan atau agensi berkaitan.

Katanya, ini bagi memastikan segala peruntukan yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan lancar kerana Kerajaan Negeri lebih memahami demografi dan keperluan rakyat di negeri ini.

Dalam perkembangan yang sama, Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah optimis kandongan belanjawan 2023 ini akan dapat dilaksanakan sebaik mungkin jika rakyat memilih sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman mengurus dan melaksanakanya. 

“Saya yakin dan percaya setiap inisiatif dan bantuan yang diumumkan oleh Kerajaan dalam belanjawan tahun hadapan sudah tersedia untuk direalisasikan, bagaimana  pun rakyat perlu bersama menyokong Kerajaan yang telah terbukti berupaya mentadbir dan mengurus ekonomi negara sebelum ini,” katanya.

Bung menaruh harapan Bajet 2023 yang bertemakan “Keluarga Malaysia Makmur Bersama” akan mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) selaras dengan semangat Keluarga Malaysia demi memastikan rakyat di negeri ini dapat menikmati pembangunan secara saksama.

“Kita berharap ianya berjalan lancar tanpa sebarang karenah birokrasi bagi memastikan segala pernacngan dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

wartaoriental

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment