Home » 628 mualaf di Membakut terima sumbangan sempena Ramadan
Berita Tempatan Politik

628 mualaf di Membakut terima sumbangan sempena Ramadan

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut memberitahu, program yang diadakan bersama golongan mualaf di Membakut itu merupakan program tahunan yang dianjurkannya, sejak 14 tahun.

MEMBAKUT: Seramai 628 mualaf di kawasan Membakut menerima sumbangan sempena Ramadan yang disampaikan oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping.


Program Himpunan Mualaf Membakut itu turut diisi dengan tazkirah dan ceramah khas yang disampaikan oleh Datuk Jalidar Abdul Rahim.


Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut memberitahu, program yang diadakan bersama golongan mualaf di Membakut itu merupakan program tahunan yang dianjurkannya, sejak 14 tahun.


“Alhamdulillah tahun ini program himpunan bersama mualaf ini dapat kita adakan secara bersemuka berbanding tahun lepas ekoran pandemik. Walaupun tahun lalu ada kekangan akan tetapi kita tetap sampaikan bantuan kepada mereka (mualaf).


“Melalui Program Himpunan Mualaf Membakut ini kita bukan sahaja menyampaikan sumbangan kepada golongan ini tetapi juga dapat mendengar ceramah khas dan tazkirah daripada Jalidar yang sudah membimbing program ini lebih 10 tahun, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mualaf sempena Program Himpunan Mualaf Membakut yang diadakan Dewan Sri Wawasan Kg Pimping.

Dalam perkembangan berkaitan, Arifin memberitahu, bagi memastikan keperluan golongan mualaf dari sudut pembelajaran terus diperkasa, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah melaksanakan program Teratak Hidayah dan Teratak Fitrah di seluruh daerah.


Program tersebut katanya, akan dibiayai oleh MUIS bagi membimbing golongan mualaf di seluruh daerah termasuk di Membakut agar tidak tercicir daripada mendapat bimbingan yang baik.


Beliau turut meminta pemimpin masyarakat supaya sentiasa proaktif dari masa ke semasa bagi mengenal pasti golongan asnaf selain daripada mualaf bagi memastikan mereka yang layak tidak tercicir dari menerima bantuan sewajarnya daripada MUIS atau pihak-pihak lain.


“Saya minta ketua-ketua adat membuat pangkalan data asnaf bersama-sama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di Membakut untuk dikemaskini dalam memastikan golongan yang berhak menerima bantuan tidak tercicir, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus