Home » Program digital bantu perkasa usahawan kecil
Berita Tempatan Politik

Program digital bantu perkasa usahawan kecil

 Arifin merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang hadir pada Program Memasak dan Sedekah Bubur Lambuk dan Kasih Ramadan.

MEMBAKUT: Usahawan kecil di sekitar Membakut dijangka akan mendapat manfaat daripada bimbingan Telekom Malaysia (TM) terutama dalam aspek perniagaan atas talian (online).


Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif berkata, TM telah menyatakan komitmen untuk membimbing usahawan kecil luar bandar khususnya di Membakut bagi mengembangkan lagi potensi perniagaan usahawan terlibat.


“Terima kasih saya ucapkan kepada Pengurus Besar TM Sabah, Datuk Sainal Mohd Amin kerana memberikan komitmen untuk membantu peniaga kecil di kawasan Membakut khususnya dalam membimbing mereka dalam perniagaan secara ‘online’, ” katanya.


Jelas Arifin bagi memastikan keberkesanan bimbingan, beliau meminta supaya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Membakut menjalin kerjasama dengan TM bagi menyelaras program bersama agar dapat memberi pendedahan terhadap usahawan kecil.


Kerjasama ini penting katanya, kerana ia diyakini dapat memberi manfaat kepada usahawan kecil sejajar dengan perkembangan pesat teknologi dan revolusi digital yang berupaya meningkatkan lagi pendapatan perniagaan.


Beliau berkata demikian ketika ditemui wakil-wakil media selepas program Cahaya Ramadan Yayasan TM yang diadakan di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping.


Sejurus menyampaikan sumbangan kepada 132 anak yatim dalam program Cahaya Ramadan Yayasan TM, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut kemudian menyempurnakan Program Memasak dan Sedekah Bubur Lambuk dan Kasih Ramadan yang diadakan di Dewan Kesenian Islam, Pekan Membakut.

Program tersebut merupakan anjuran Masjid Cahaya Iman Pekan Membakut dengan kerjasama Adabi Sabah Distribution Sdn. Bhd.
Sebanyak 170 bakul makanan diagih kepada masyarakat kurang berkemampuan hasil sumbangan syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan, sebagai usaha meringankan beban golongan itu dalam menyambut Ramadan.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment