Home » Aplikasikan teknologi dalam perkhidmatan-Jeffrey
Berita Tempatan Politik

Aplikasikan teknologi dalam perkhidmatan-Jeffrey

Jeffrey menyaksikan upacara mengangkat sumpah Ahli Majlis Daerah Keningau 2023-2025 yang diadakan di salah sebuah hotel.

KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berharap Ahli Majlis Daerah Keningau yang baharu dilantik dapat mengaplikasikan teknologi dalam perkhidmatan, seiring dengan peredaran masa kini.


Ini kerana katanya, dalam dunia digital yang begitu pantas, Ahli Majlis perlu seiring dan sentiasa bersedia dengan aplikasi-aplikasi baru berkaitan teknologi pintar terkini, teknologi dalam penyampaian perkhidmatan, teknologi dalam penyaluran maklumat pantas dan teknologi dalam talian seperti e-PBT, Facebook, Whatsapp, Telegram, TikTok dan YouTube.


Tambah beliau, Ahli Majlis juga perlu lebih peka dan teliti dengan maklumat-maklumat yang diperolehi atau dikongsi menerusi media maklumat terutama dari sumber-sumber yang tidak diketahui kesahihannya supaya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan pengurusan PBT.


“Selain itu, pemahaman perlu ada berkaitan Program Teknologi Rendah Karbon seperti sistem solar bagi menjimatkan penggunaan tenaga, Program PBT Hijau, Program Kitar Semula bagi mengurangkan penghasilan sampah ke tapak pelupusan, Program Pengurusan Sisa Pepejal yang sistematik dan teratur dan Program Anti Kutu Sampah yang mana merupakan antara polisi utama pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.


“Ini termasuk juga pemahaman berkaitan dasar kerajaan seperti Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Pelan Pembangunan Daerah Keningau.


“Ini akan membantu Ahli Majlis memahami lebih mendalam halatuju yang perlu ada pada Majlis Daerah Keningau pada masa hadapan, ” katanya semasa berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Keningau 2023-2025 yang diadakan di salah sebuah hotel di sini, bersamaan hari Selasa.


Turut hadir Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik; Pengerusi Majlis Daerah Keningau, Neldin Gimbang dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau, Mohd Fawzi Abdul Kadir.


Seramai 19 Ahli Majlis Daerah Keningau menerima watikah pelantikan pada majlis yang diadakan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau memberitahu, Ahli Majlis wajib diberikan latihan atau kursus dalam usaha membantu meningkatkan pemahaman Ahli berkaitan tugas dan tanggungjawab mereka.


“Ini memerlukan kerjasama dan sokongan daripada pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP). Pihak KKTP perlu menyediakan model kursus agar Ahli Majlis faham fungsi sesebuah PBT dan bagaimana boleh memberikan sumbangan dalam mengangkat Majlis ke arah lebih cemerlang dan terbilang.


“Ahli Majlis perlulah melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman yang tinggi terhadap objektif Majlis Daerah, peranan dan fungsi Ahli Majlis.


“Ini kerana pelantikan setiap Ahli Majlis itu bertujuan membantu pihak berkuasa tempatan dalam membuat dasar, merancang dan memantau pelaksanaan program-program pembangunan di peringkat daerah khususnya dalam kawasan operasi PBT.


“Ahli Majlis dan PBT merupakan garis hadapan yang berhubung secara langsung dengan masyarakat. Peranan Ahli Majlis bukan sahaja mendapatkan atau menerima aduan rakyat, tetapi juga perlu melaksanakan aktiviti turun padang, agar lebih jelas dan dekat dengan permasalahan penduduk setempat, ” katanya.


Justeru Jeffrey berharap Ahli Majlis dapat melaksanakan tugas dengan integriti tinggi, selain membuat keputusan tepat berasaskan kepentingan rakyat dan tidak bertunjangkan kepada kepentingan peribadi semata-mata.


“Ahli Majlis perlu mempunyai matlamat diri untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik agar memberi impak yang positif kepada rakyat secara keseluruhannya.


“Syabas dan tahniah kepada semua Ahli Majlis yang baru dilantik dan selamat menjalankan tugas dipertanggungjawabkan dengan penuh cekap dan amanah, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment