Home » Lokman Adam diarah fail pembelaan
Berita Dalam Negara

Lokman Adam diarah fail pembelaan

Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Laskar Siber, Datuk Lokman Noor Adam menjawab saman yang difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadapnya.

Di bawah peraturan mahkamah, masa yang diberikan untuk Lokman memfailkan pembelaannya berhubung dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial dijadualkan tamat har ini.

Sementara itu, ketika dihubungi media, peguam, Joshua Tan yang mewakili Perdana Menteri berkata, pihaknya juga perlu memfailkan jawapan terhadap pihak pembelaan selewat-lewatnya pada 25 Oktober ini.

“Mahkamah menetapkan 25 November ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya selepas prosiding pengurusan kes semalam secara dalam talian (e-Review) di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Haleez Hasnan.

Pada September lalu, Naib Presiden UMNO itu memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnahnya di akaun media sosial.

Mahkamah menetapkan 29 November ini bagi mendengar permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua pihak).

Ismail Sabri, 62, selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya menerusi pada 8 September lalu dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam satu video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

Ismail Sabri berkata, kenyataan-kenyataan itu berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube ‘Lokman Adam’, Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam’.

Menurutnya, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti berkenaan Perkara itu dinafikan Ismail Sabri.

Pada 1 September 2022, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap kerajaan dan Ismail Sabri.

– UTUSAN

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment