Home » Blok Borneo layak peroleh 22 slot Senator
Berita Tempatan Politik

Blok Borneo layak peroleh 22 slot Senator

John berkata Dewan Negara juga sama penting kerana rang undang-undang atau pindaan ke atas Akta perlu melalui Dewan Negara untuk kelulusan selepas diluluskan di Parlimen.

KOTA KINABALU: SABAH dan Sarawak sepatutnya memperoleh 35 peratus daripada 70 kerusi Dewan Negara, kata Senator Datuk John Ambrose.
Beliau berkata jika langkah itu direalisasikan, Sabah dan Sarawak akan mempunyai sekurang-kurangnya 11 Senator, masing-masing.

“Walaupun terdapat banyak gesaan untuk 35 peratus daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat (Parlimen), Sabah dan Sarawak juga perlu mengejar hal sama untuk kerusi Dewan Negara.


“Setakat ini, hanya ada lima Senator dari Sabah dan lapan dari Sarawak, dan ia tidak mencukupi. Seperti Ahli Parlimen, Senator juga memainkan peranan penting dalam membangkitkan isu bukan sahaja melibatkan negeri masing-masing tetapi juga rakyat di seluruh negara,” katanya.

Ketika ini, Sabah mempunyai lima senator – John, Datuk Bobbey Suan, Datuk Noraini Idris, Datuk Anifah Aman dan Norita Sual.
Kuota pelantikan Senator ketika ini ialah dua bagi setiap negeri, dipilih oleh dewan undangan negeri masing-masing untuk tempoh tiga tahun.


44 lagi, termasuk empat Senator yang mewakili Wilayah Persekutuan, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong juga untuk tempoh tiga tahun. Senator hanya boleh berkhidmat dua penggal selama tiga tahun.


Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Fadillah Yusof, yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, mengulangi gesaannya supaya 35 peratus kerusi Parlimen diberikan kepada Sabah dan Sarawak.


Fadillah berkata jika kerusi di semenanjung melebihi dua pertiga, mereka boleh mengundi dan menghapuskan semua hak yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak.


John berkata Dewan Negara juga sama penting kerana rang undang-undang atau pindaan ke atas Akta perlu melalui Dewan Negara untuk kelulusan selepas diluluskan di Parlimen.


“Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dalam banyak aspek, terutamanya dari segi infrastruktur, dan kedua-dua negeri memerlukan lebih banyak suara di peringkat persekutuan, sama ada Parlimen dan Dewan Negara, untuk memperjuangkan hak rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak.


“Kedua-dua negeri Malaysia Timur telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan negara daripada sumbernya seperti minyak dan gas, dan tidak ada sebab kenapa Sabah dan Sarawak tidak sepatutnya mendapat satu pertiga daripada kerusi di kedua-dua Parlimen dan Dewan Negara,” katanya.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk lebih banyak suara daripada dua negeri itu didengari di peringkat Persekutuan.


“Semasa Hari Raya baru-baru ini, saya berasa jengkel apabila mengetahui tambang penerbangan antara Sabah dan semenanjung melonjak antara RM2,000 dan RM3,000 untuk sehala. Tambang penerbangan pergi balik untuk beberapa destinasi luar negara, seperti Hong Kong, China, Jepun dan Korea Selatan, antara yang lain, tidak memerlukan kos sebanyak itu.


“Syarikat penerbangan akan terus menaikkan tambang penerbangan mereka terutama pada musim perayaan dan rakyat Sabah akan terus menderita. Iltizam politik diperlukan untuk memperjuangkan tambang penerbangan lebih munasabah yang mampu milik oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Untuk melakukannya, kita memerlukan lebih banyak suara di Parlimen dan Dewan Negara,” katanya.

John berkata Sabah dan Sarawak bukannya tamak dengan meminta satu pertiga daripada kerusi di Parlimen dan Dewan Negara.


“Kedua-dua negeri harus dilayan sama rata, itulah yang saya minta. Saya berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memahami kerana beliau telah berjanji semasa PRU15 tahun lepas bahawa Sabah dan Sarawak akan mendapat 35 peratus daripada kerusi di Parlimen. Saya berharap peratusan kerusi Senat yang sama juga diberikan kepada Sabah dan Sarawak.”

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment