Home » Keretakan hubungan UMNO-PAS berita baik buat PN
Berita Tempatan

Keretakan hubungan UMNO-PAS berita baik buat PN

Muhyiddin pada pertemuan bersama pemimpin BERSATU Sabah di Kota Kinabalu di sini, malam tadi. - Foto NSTP/IZWAN ABDULLAH

KOTA KINABALU: Keputusan UMNO tidak meneruskan kerjasama dengan PAS disifatkan sebagai berita baik bagi Perikatan Nasional (PN) yang akan menjadikan gabungan itu lebih kukuh.


Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata di pihak PN kerjasama dengan PAS kekal baik dan kukuh sejajar kedudukan parti itu sebagai antara pengasas gabungan berkenaan bersama BERSATU dan parti lain.


“Itu keputusan mereka (UMNO), tapi bagi PN hubungan dengan PAS tetap baik kerana mereka (PAS) adalah antara parti pengasas PN.


“PAS juga berulang kali menjelaskan mereka kekal rakan penting PN.


“Jadi, sudah jelas sekarang mengenai ketidakpastian hubungan mereka (PAS) dengan UMNO, tetapi saya fikir ia membuka laluan kepada PN untuk lebih kuat dan efektif untuk memperoleh lebih banyak kerusi pada pilihan raya ini.


“Bagi saya itu berita baik,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan kepemimpinan BERSATU Sabah, di sini, malam tadi.


Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.


Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Muhyiddin berkata, PN dan BERSATU Pusat menerima keputusan BERSATU Sabah untuk bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU-15.


Katanya, tiada masalah berhubung perkara itu sejajar dengan persefahaman yang dicapai dalam kalangan parti komponen GRS, termasuk soal kerjasama GRS dengan Barisan Nasional (BN).


“Hajiji sudah menjelaskan mengenai situasi agak luar biasa sedikit di Sabah, sebab itu terbentuk kerajaan negeri kerana adanya kerjasama dan persefahaman di antara parti walaupun di peringkat persekutuan tidak sehaluan tetapi di sini keadaan agak luar biasa ataupun keadaan istimewa.


“Kerajaan negeri boleh kerja bersama dan kita terima dasar Hajiji sebagai ketua. Soal pokoknya ini pilihan raya Pusat atau Parlimen. Jadi saya serah kepada kebijaksanaan Hajiji dan rakan GRS bagaimana bentuk pembahagian kerusi dan sebagainya kerana saya faham situasi agak berbeza di sini,” katanya.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment