Home » Segerakan pelaksanaan projek pembangunan – Hajiji
Berita Tempatan Politik

Segerakan pelaksanaan projek pembangunan – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor juga mahukan laporan terperinci kemajuan pelaksanaan projek berkenaan pada mesyuarat MTPNg pada September depan katanya ketika mempengerusikan Mesyutarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Semua Ketua Jabatan dan Pegawai Daerah dinasihatkan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, dengan hanya baki enam bulan, beliau mahu semua Ketua Jabatan dan Pegawai Daerah untuk mengatasi sebarang isu yang menghalang pelaksanaan projek berkenaan.

“Cuba sedaya upaya anda untuk melaksanakan dan menyempurnakan kesemua projek berkenaan pada tahun ini,” katanya ketika mempengerusikan Mesyutarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di sini, hari ini.

Hajiji juga mahukan laporan terperinci kemajuan pelaksanaan projek berkenaan pada mesyuarat MTPNg pada September depan.

Sabah telah diperuntukan sebanyak RM6.05 bilion pada Belanjawan Nasional pada tahun ini, merupakan ketiga terbesar selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Bagaimanapun, dibawah Rolling Plan ketiga Rancangan Malaysia ke-12, hanya 21.61 peratus daripada 1,181 projek di Sabah telah dilaksanakan.

Memandangkan tempoh masa semakin pendek, Hajiji mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan Tabung Amanah bagi menyimpan peruntukan yang tidak digunakan untuk tahun ini dan dibelanjakan pada tahun berikutnya.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew, Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Pegawai Pembangunan Sabah Samsul Dollah.

Pada mesyuarat berkenaan, turut dimaklumkan adalah data MyProjek setakat 12 Jun 2023 adalah sebanyak 141 projek dibawah nilai RM50 juta, dengan jumlah keseluruhan RM1.6 bilion akan disalurkan kepada kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Untuk ini, saya menyeru ahli jawatankuasa MTPNg untuk mengambil maklum tentang perkara ini dan lakukan tugasan masing-masing.

“Jangan lagi ada alasan untuk menunggu kelulusan daripada kerajaan Pusat sebagai sebab kelewatan pelaksanaan projek.

“Rakyat dan kerajaan akan rugi jika berlaku kelewatan dalam melaksanakan projek yang diluluskan,” katanya.

Hajiji juga menggesa semua Ketua Jabatan dan Pegawai Daerah untuk merealisasikan agenda sifar miskin tegar menjelang akhir tahun ini, seperti yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mahu semua Pegawai Daerah turun padang dan mengenal pasti rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar di kawasan masing-masing.

“Kami mahu status sebenar mereka direkodkan,” katanya.

Ketua Menteri juga menggesa jabatan berkaitan yang dibebani dengan ‘projek sakit’ untuk menamatkan kontraktor tidak berprestasi yang telah menghalang daripada penyiapan projek.

Katanya, antara projek berkenaan ialah projek dibawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.