Bakal haji di Makkah digalakkan memperbanyakkan zikir, solat sunat serta membaca al-Quran dan meninggalkan perkara sia-sia seperti berbual-bual kosong atau menghisap rokok. – Gambar hiasan/REUTERS
MAKKAH: Jemaah haji negara perlu memanfaatkan sepenuhnya Hari Arafah yang merupakan kemuncak haji, selaras sabda Nabi Muhammad SAW “Al-hajju Arafah” (haji itu wukuf di Arafah).
Ketua Pakar Rujuk musim haji 1444 Hijrah Dr Anisah Ab Ghani berkata Hari Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana hari mustajabnya doa selain menjadi hari Allah membebaskan hamba-Nya daripada api neraka.
Anisah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM) berkata jemaah haji sebaik-baiknya membuat senarai doa sebanyak mungkin supaya tidak tertinggal apa yang dihajati.
“Bila kita ada di Arafah ini, kita anggap sebagai Padang Mahsyar kecil, anggap kita ini seolah-olah berdepan Allah SWT … untuk menginsafi diri kita, seolah-olah nak persembahkan ibadat kita kepada Allah SWT,” katanya dan menambah mereka yang tidak mengerjakan haji pula disunatkan berpuasa pada Hari Arafah.
Kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Arafah esok untuk menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji pada Selasa, 9 Zulhijjah (27 Jun). — BERNAMA
— AWANI
Add Comment