Home » Janji-janji Warisan umpama tin kosong – Nizam
Berita Tempatan Politik

Janji-janji Warisan umpama tin kosong – Nizam

Nizam mendakwa, Kerajaan Warisan bukan sahaja gagal menyelesaikan isu air, malah mereka telah melanggar undang-undang apabila melantik orang luar sebagai Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang bertentangan dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2023.

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyelar sikap pemimpin Warisan yang gemar menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat meskipun mereka telah terbukti gagal mentadbir Sabah pada tahun 2018 sehingga 2020.

Nizam yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata, laporan sosioekonomi Sabah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan mendapati ekonomi negeri mundur dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya sebanyak 0.5 peratus dan 1.5 peratus pada 2018 dan 2019 berbanding 5.1 peratus serta 8.1 peratus pada tahun 2016 dan 2017.

Katanya, data-data tersebut membuktikan bahawa pemimpin Warisan umpama tin kosong kerana hanya tahu bercakap besar dengan janji-janji manis, namun tidak mempunyai keupayaan untuk mentadbir ketika berpeluang memerintah negeri.

“Negeri kita merekodkan KDNK 5.1 peratus dan 8.1 peratus pada 2017 iaitu kadar peningkatan yang setaraf dengan negara berpendapatan tinggi, namun segala-galanya merudum teruk selepas dua tahun Warisan memerintah.

“Kita masih ingat bagaimana Kerajaan Warisan pada waktu itu melaungkan slogan memajukan sektor pertanian tetapi hakikatnya, pada 2019 sektor pertanian merosot 0.6 peratus selain sektor pembuatan serta perlombongan dan pengkuarian turut jatuh 0.8 peratus dan 6 peratus,” katanya hari ini.

“Begitu juga dengan isu air dan bekalan elektrik . Warisan hanya tahu menyalahkan Ketua Menteri sedangkan mereka juga gagal menyelesaikan masalah tersebut .

” Jangan lupa, ketika berkuasa mereka telah melantik orang luar sebagai Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dimana pelantikan tersebut bertentangan dengan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air Sabah 2023.

Nizam berkata, meskipun Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dikecam oleh pembangkang, beliau sedikit pun tidak melenting .

“Ketua Menteri merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Beliau terus komited untuk mencari jalan penyelesaian .

“Kita gembira kerana Ketua Menteri telah mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan RM320 juta bagi penyelesaian jangka pendek masalah air yang berlaku sekarang.

“Pemimpin Warisan pula hanya tahu menjelajah seluruh negeri dan membuat tuduhan tanpa rasa malu pada diri sendiri kerana sebelum ini mereka berkuasa tetapi tidak melakukan apa-apa.

“Biarlah pemimpin Warisan terus menyalak kerana suara mereka tidak ubah seperti tin kosong yang diketuk, hanya akan mengeluarkan bunyi bising tetapi di dalamnya kosong, tiada faedah,” katanya.

— TAMAT