Home » Hajiji gesa JPNS kenal pasti punca calon tidak hadir peperiksaan SPM
Berita Tempatan Politik

Hajiji gesa JPNS kenal pasti punca calon tidak hadir peperiksaan SPM

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Gulamhaidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya bergambar bersama para penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) pada majlis penyampaian anugerah itu di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) digesa mengenal pasti punca yang menyebabkan ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sabah tidak hadir menduduki peperiksaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan memandangkan SPM adalah peperiksaan penting untuk masa depan anak-anak.

“Pendidikan adalah hak untuk semua. Justeru, berapa pun jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM 2022 di negeri ini, ramai atau tidak, saya mahu JPNS mengenal pasti kenapa mereka tidak hadir dan apa alasan mereka.

“Perkara ini membimbangkan kerana SPM adalah penting untuk pelajar mencorak masa depan mereka. Saya mahu pelajar dari Sabah yang tidak menduduki SPM 2022, ambil peluang untuk berbuat demikian tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri ke-34 di Menara Tun Mustapha di sini hari ini.

Hajiji berkata, berdasarkan laporan hanya seramai 34,461 pelajar daripada 40,147 yang mendaftar di Sabah menduduki peperiksaan SPM 2022.

Menurutnya, laporan Menteri Pendidikan baru-baru ini bahawa seramai 10,000 daripada hampir 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2022 mendaftar untuk ulangan peperiksaan itu tahun ini. 

Hajiji berkata, walaupun terdapat peningkatan 0.13 peratus dalam Gred Purata Nasional (GPN) keputusan SPM 2022 bagi negeri Sabah daripada 5.35 mata pada 2021 kepada 5.22 mata pada 2022, namun ia masih jauh berbanding GPN kebangsaan sebanyak 4.74. 

“Kerajaan negeri mengambil berat mengenai isu ini dan ia harus diteliti secara terperinci bagi mengenal pasti punca kelemahan-kelemahan yang wujud,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, sejumlah RM668 juta dibelanjakan oleh Kumpulan Yayasan Sabah, sebuah badan berkanun kerajaan negeri dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang memberi manfaat kepada seramai 41,221 pelajar Sabah. 

Katanya, semua itu dilakukan demi memberikan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan untuk memastikan mereka dapat mengakses pendidikan yang berkualiti.

Dalam pada itu beliau berkata, sehingga kini, seramai 715 pelajar mendapat manfaat ABCNS dari program itu yang menelan perbelanjaan sebanyak RM124.4 juta.
 
Menurutnya, para penerima ABCNS adalah aset masa depan dan mempunyai peranan penting dalam memacu pembangunan negeri ini.

“Saya mahu penerima ABCNS menggunakan peluang yang diberikan ini dengan sebaik mungkin dan sentiasa memiliki sifat ingin tahu serta berani berfikiran luas untuk meneroka aplikasi seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), Realiti Maya (Virtual Reality) dan gamifikasi (Gamification) sebagai langkah ke arah mewujudkan masyarakat yang celik teknologi tanpa menjejaskan kemampuan berfikiran secara kreatif,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Raisin Saidin berkata, murid memilih sendiri untuk tidak hadir peperiksaan SPM antara faktor yang dikenal pasti berhubung isu berkenaan.

Katanya, faktor lain turut melibatkan masalah disiplin yang menyebabkan pelajar digantung sekolah. Namun, mereka sendiri tidak kembali ke sekolah untuk membuat rayuan.

“Murid yang digantung ini diberi peluang untuk kembali ke sekolah dan paling penting apabila mereka sudah membayar yuran SPM, mereka layak untuk menduduki SPM, itu hak murid.

“Selain itu, murid berkenaan yang sendiri berhenti sekolah sebelum peperiksaan SPM dan biasanya pihak JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan ambil tindakan dengan memanggil murid-murid ini.

“Namun, dalam keadaan tertentu ada dalam kalangan murid ini tidak dapat dihubungi dan jumlah ini agak besar,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan jumlah murid yang terlibat dengan situasi berkenaan untuk mencapai sifar murid yang berhenti sekolah.

Pada majlis itu, seramai 40 pelajar terpilih menerima ABCNS. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar  dan Pengerusi Eksekutif ICSB Datuk Jasnih Daya.

–TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment