Home » Replika bunga raya di bulatan Chester tarikan bulan kemerdekaan
Berita Tempatan Politik

Replika bunga raya di bulatan Chester tarikan bulan kemerdekaan

Lo berucap di Majlis Hiasan Bulatan Chester Sempena Perayaan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023, di sini semalam.

TAWAU: Replika bunga raya besar dengan simbol bulan bintang yang dihiasi lampu berwarna-warni ketika waktu malam menjadi tarikan bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan di daerah ini.

Dekorasi replika itu yang dipaparkan di Bulatan Jalan Chester telah disiapkan dalam tempoh dua minggu hasil idea dan kerjasama Persatuan Dewan Perniagaan Tiong Hua (PDPTH) dengan rakan strategik.

Presiden PDPTH, Chia Seong Fatt berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana terus diberi kepercayaan menghias bulatan berkenaan dengan dekorasi sempena sambutan bulan kemerdekaan.

“Kami sangat bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk melakar kenangan pada sambutan kemerdekaan negara yang ke-66.

“Bagi saya ia peristiwa penting kerana bersama merasai pencapaian dan kemajuan yang telah dikecapi negara melalui sumbangan sekecil ini,” katanya.

Beliau demikian ketika ditemui pada Majlis Hiasan Bulatan Chester Sempena Perayaan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023, di sini semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hatta.

Katanya, hiasan ini melambangkan semangat kemerdekaan, perpaduan dan kemakmuran dikecapi negara selama ini.

“Semangat perpaduan perlu dikekalkan secara bersama oleh setiap rakyat negara tanpa mengira kefahaman dan perbezaan agama, bangsa serta fahaman politik.

“Dekorasi ini melambangkan kepelbagaian masyarakat dengan warisan budaya dan adat istiadat, selain dibina untuk memukau pandangan mengenai keindahan negara serta menekankan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang berkata, dekorasi berkenaan sebagai usaha memeriahkan sambutan bulan kebangsaan peringkat perbandaran.

“Kita mengalu-alukan kerjasama dari pelbagai pihak untuk menjayakan sambutan bulan kebangsaan dan dalam masa sama MPT juga telah mengeluarkan surat pekeliling agar semua premis di daerah ini mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

— Hamzah Sanudin