Home » Naib Presiden LDP cadang tubuh Pasukan Petugas Khas tangani isu pencemaran di Semporna
Berita Tempatan

Naib Presiden LDP cadang tubuh Pasukan Petugas Khas tangani isu pencemaran di Semporna

Sim Fui berkata petugas khas berkenaan perlu terdiri daripada semua golongan profesional supaya dapat merangka jalan penyelesaian seperti yang diinginkan.

KOTA KINABALU: Pasukan Petugas Khas perlu dibentuk di Semporna bagi menangani isu pencemaran serta masalah kebersihan di daerah berkenaan.

Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sim Fui berkata, peranan itu perlu diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta kementerian pelancongan peringkat Persekutuan.

Katanya, isu berkenaan telah memberi kesan terhadap industri pelancongan negeri kerana kerap mendapat kritikan daripada pelancong domestik dan antarabangsa.

“Pelancong sering mengadu tentang persekitaran Semporna terlalu kotor dengan sampah banyak berselerak serta bau busuk yang meloyakan.

“Mereka juga meluahkan rasa bimbang terhadap kemungkinan keracunan makanan dan perkhidmatan penginapan yang kurang memuaskan terutamanya tuala, sarung bantal serta cadar yang kotor,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, petugas khas berkenaan perlu terdiri daripada semua golongan profesional supaya dapat merangka jalan penyelesaian seperti yang diinginkan.

“Penyelesaian itu juga bukan sahaja menambah baik tahap kebersihan di kawasan bandar tetapi melibatkan pengurusan tempat pelancongan seperti di pantai.

“Paling penting adalah kekerapan mengadakan pemantauan terhadap pengusaha makanan dan minuman bagi memastikan ia ditahap yang bersih,” katanya.

Sim Fui berkata, pemain pelancong perlu memastikan perkhidmatan mereka ditahap paling baik dengan suasana yang bersih supaya pelancong boleh bercuti dengan selesa.

“Setiap kementerian berkaitan dan wakil rakyat perlu kerap turun padang untuk sentiasa memeriksa isu-isu seperti ini, bukannya mengharapkan jabatan sahaja,” katanya. 

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment