Home » Ketepikan perbezaan, raikan Hari Sabah bersama: Robert
Berita Tempatan Politik

Ketepikan perbezaan, raikan Hari Sabah bersama: Robert

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik berkata, keputusan untuk menerima hasrat mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan GRS buat masa ini perlu diperhalusi bagi mengelak disalah tafsir oleh mana-mana pihak.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik (gambar) menyeru semua pemimpin di negeri ini supaya memberikan sokongan terhadap sambutan Hari Sabah yang julung kali diadakan dan bukan sebaliknya.

Tegas Robert, walaupun berbeza idea dan pandangan mengenai Hari Sabah namun sebagai Sabahan, semua pihak (pemimpin dan rakyat) wajar sepakat dan bersatu untuk meraikannya sekaligus membuktikan semangat kebersamaan dan kesatuan.


Robert yang juga Pengerusi Persediaan Sambutan Hari Sabah berkata sambutan Hari Sabah yang akan diadakan pada 31 Ogos ini di Tambunan wajar disokong bagi menandakan seluruh pemimpin dan rakyat sepakat menyambut hari bersejarah itu.

“Kita sering berbeza idea mengenai sambutan Hari Sabah. Namun dalam konteks meraikan sambutan yang julung kali diadakan ini, biarlah kita ketepikan dahulu ideologi politik untuk mencari siapa betul siapa salah dalam fakta kerana yang penting Hari Sabah menandakan penyatuan seluruh rakyat negeri bertuah ini, ” katanya.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan ADUN Tungku dari Parti Warisan Sabah, Assaffal Alian yang mendakwa terdapat kekhilafan dalam kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada 21 Ogos lalu yang mengatakan Sabah Day adalah untuk memperingati Hari Kemerdekaan Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan itu turut menyarankan Hajiji agar membawa Usul tentang Kemerdekaan Sabah untuk dibahaskan pada persidangan DUN yang akan datang.


Robert yang juga Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menegaskan perkara-perkara yang ada hubung kait dengan ‘Political Will’ boleh disuarakan menerusi medium berbeza namun lebih baik melalui saluran yang sesuai.


“Apa yang penting, kita harus bersatu padu menegakkan Sabah Ibu Pertiwi kita sebagai sebahagian dari Wilayah yang menubuhkan Malaysia, ” katanya.


Robert turut memberi contoh semangat kesepakatan pemimpin di Sarawak semasa mereka menyambut Hari Sarawak baru-baru ini yang dilihat wajar dijadikan sebagai teladan kepada semua pihak.


“Semangat kesepakatan itu satu teladan yang wajar diterjemahkan ketika menyambut Hari Sabah kelak bagi menunjukkan kepada dunia bahawa kita tetap bersatu walaupun berbeza ideologi politik.


“Justeru saya menjemput ADUN Tungku untuk bersama-sama kita semasa sambutan Hari Sabah di Tambunan nanti termasuk juga wakil rakyat lain tanpa mengira apa jua fahaman politik mereka demi Sabah, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment