Home » Penuntut di luar negara diminta berkhidmat kepada negeri
Berita Tempatan Politik

Penuntut di luar negara diminta berkhidmat kepada negeri

TAWAU: Semua pelajar di daerah ini yang berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir diminta supaya dapat berkhidmat di Sabah pada masa akan datang.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tenaga dan kepakaran mereka sangat diperlukan untuk bersama-sama membangunkan negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri memerlukan pemimpin dan tenaga pakar tempatan supaya Sabah tidak bergantung lagi kepada kepakaran luar.

“Saya berharap pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara dan universiti terkenal dapat menyumbang bakti kepada negeri ini.

“Saya juga percaya kerajaan negeri sangat berbesar hati memberi ruang kepada tenaga pakar tempatan untuk berkhidmat dalam pelbagai sektor di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika beramah mesra dengan 10 orang pelajar yang mendapat tajaan biasiswa daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini, semalam.

Nizam turut menasihatkan kepada semua pelajar berkenaan agar sentiasa fokus dalam pelajaran dan tidak terpengaruh dengan budaya tidak sihat di negara luar.

“Semua pelajar diminta supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang negara berkenaan, sehingga menyebabkan mereka dibuang pengajian.

“Ruang dan peluang yang diberikan oleh kerajaan negeri melalui MUIS ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaiknya serta tidak disia-siakan,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Sekolah Menengah (SM) Islamiah Tawau kerana berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang.

“Semua pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian ini adalah hasil didikan dan lepasan di SM Islamiah Tawau.

“Saya sangat berbangga kerana ramai pelajar di daerah ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran dan boleh melanjutkan pengajian di universiti tersohor luar negara,” katanya.

Terdahulu, semua pelajar terdiri tujuh perempuan dan tiga lelaki ini akan mengambil bidang Bahasa Arab, Usuluddin dan Syariah.

Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment