Home » PBS, STAR capai kata sepakat jalin kerjasama
Berita Tempatan Politik

PBS, STAR capai kata sepakat jalin kerjasama

Star dan PBS telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama pada pilihan raya akan datang.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mencapai kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi  bagi mewujudkan persefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua parti.

Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung YB Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Agung STAR Datuk Edward Linggu hari ini menjelaskan, kerjasama kedua-dua parti berdasarkan kepada beberapa asas utama.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua parti mahu menyahut seruan akar umbi yang ingin melihat PBS dan STAR menjalinkan kerjasama jitu dan mampan demi perpaduan rakyat berbilang kaum.

Selain itu, langkah berkenaan juga sebagai kesinambungan kepada cadangan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020 serta bertujuan memperkukuhkan lagi kekuatan dan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“PBS dan STAR mencapai kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi berhubung perkara itu dalam pertemuan di antara pemimpin kedua-dua parti pada Rabu lepas.

“PBS memberi amanah kepada empat pemimpin untuk mewakili parti, manakala STAR diwakili oleh lima pemimpin parti dalam perbincangan terbabit,” jelas kenyataan itu.

Selain Julita, PBS akan diwakili oleh Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Pergerakan Wanita PBS Datin Malianah Ugau; dan Ketua Pergerakan Pemuda PBS Christoper Mandut.

Manakala STAR diwakili oleh Naib Presiden merangkap Pengarah Strategik STAR Dr. Paul Porodong; Ketua Penerangan STAR Datuk Jalumin Bayogoh; Ketua Pergerakan Wanita STAR Datuk Flovia Ng; Ketua Pergerakan Pemuda STAR Kong Soon Choi; dan juga Edward.

Dalam kenyataan bersama itu memaklumkan, mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment