Home » Pelbagai inisiatif galak pembayaran tanpa tunai: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Pelbagai inisiatif galak pembayaran tanpa tunai: Hajiji

TINJAU: Joachim ketika membuat tinjauan ke salah satu kaunter yang dibuka pada majlis itu.

RANAU: Kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk membudayakan pembayaran tanpa tunai (Cashless Payment) bagi mengupayakan terimaan hasil negeri seperti pembayaran lesen, permit serta kemudahan awam melalui kaedah tanpa tunai.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, antara inisiatif itu termasuklah aplikasi Sabah Pay yang dilancarkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah (Sabah Credit Corporation) dan inisiatif baharu iaitu YONO (You Only Need One).

Katanya, ketika penularan pandemik COVID-19, ia memaksa masyarakat untuk menyakinkan diri menggunakan aplikasi mudah alih atau mobile app melalukan pembayaran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, semua usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri ini adalah demi kesejahteraan rakyat sekali gus membuktikan keprihatinan bagi membawa pembangunan dan kemajuan khususnya berkaitan teknologi terkini kepada rakyat.

“Penggunaan Aplikasi Sabah Pay sendiri berjaya mengumpul sebanyak RM46 juta sehingga 31 Oktober 2023.

“Surat pekeliling turut dikeluarkan pada 1 Disember 2022 oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah sebagai panduan untuk agensi-agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan C2G (Customer To Government) dan B2G (Business To Government).

“Antara mod pembayaran yang diterima adalah Kad Kredit, Kad Debit,Kad Caj, eDompet dan khidmat perbankan internet yang tersedia,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Program E-Duit Desa Komuniti Cashless di Tamu Pagi Kundasang, di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, semua usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri ini adalah demi kesejahteraan rakyat sekali gus membuktikan keprihatinan bagi membawa pembangunan dan kemajuan khususnya berkaitan teknologi terkini kepada rakyat.

Menurutnya, transaksi tanpa tunai menawarkan banyak manfaat, termasuk kaedah pembayaran yang lebih mudah, cepat, dan selamat.

“Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan transaksi harian, tetapi juga menyelesaikan isu lama seperti kekurangan mesin ATM di kawasan luar bandar.

“Justeru, dalam memastikan pembayaran tanpa tunai memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat sejagat, kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa prihatin untuk memastikan prasarana komunikasi tersedia.

“Dalam hal ini, usaha dipergiatkan untuk menyiapkan sebanyak 398 menara telekomunikasi di seluruh negeri melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam kadar segera,” katanya.

Mengenai program itu, Hajiji berkata, inisiatif Agrobank menerusi program ini selaras dengan visi kerajaan negeri untuk meningkatkan penggunaan dan akses kepada pembayaran digitalisasi di seluruh negeri.

Beliau berkata, dengan menerima pakai pembayaran digital, ia dapat meningkatkan dan pemantapan ke arah ekonomi yang lebih cekap dan telus.

 “Justeru, usaha berterusan Agrobank memperkenalkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai di Sabah, amat dihargai.

“Saya berharap Program Komuniti Cashless Kundasang yang bertujuan mengisytiharkan Ranau sebagai wilayah tanpa tunai dengan mendidik penduduk tempatan Ranau mengenai penggunaan pembayaran atas talian dan QR, dapat mencapai matlamat dan mendapat sokongan daripada penduduk di daerah ini.

“Pada hemat saya, ini adalah antara inisiatif yang amat baik dan saya berharap Agrobank akan sentiasa merangka dan memperluaskan lagi inisiatif pembayaran tanpa tunai ini ke kawasan-kawasan lain di Sabah,” katanya.

— Yap Siong Han