Home » Biro Penerangan Gagasan Rakyat adakan kunjungan hormat kepada SKMM
Berita Tempatan Politik

Biro Penerangan Gagasan Rakyat adakan kunjungan hormat kepada SKMM

TERIMA KASIH:Nizam menyampaikan cenderahati kepada Ranahwaty di Pejabat SKKM, Menara MAA di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Biro Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sabah, Ratnawaty Talib di Pejabat SKMM Sabah hari ini.

Rombongan itu diketuai oleh Ketua Penerangan Gagasan Rakyat (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.

Kunjungan hormat ini bertujuan bagi memperkukuh hubungan di antara SKMM dan Biro Penerangan Gagasan Rakyat Sabah selain membincangkan isu-isu semasa.

Dalam pertemuan tu Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri mencadangkan SKMM Sabah untuk memperkenalkan satu seksyen yang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menghukum kesalahan yang berkaitan dengan buli siber ‘cyberbullying’.

Katanya dalam era digital hari ini, platform media sosial telah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat, menawarkan peluang yang tiada tandingan untuk perhubungan, komunikasi dan pembinaan komuniti.

“Kita semua perlu bangkit menentang segala bentuk buli dan singkirkan orang toksik daripada merosakkan komuniti alam maya.

“Jangan biarkan pembuli siber berleluasa, menjejaskan individu dari semua peringkat umur dan latar belakang termasuk menfitnah pemimpin, bersikap mengganggu, mengancam, menghina dan merendahkan seseorang.

“Tidak seperti buli tradisional, buli siber berbahaya kerana boleh berlaku 24 jam sehari, tujuh hari seminggu selain tiada sempadan masa dan tempat,” kat Nizam.

Beliau berkata, pembuli siber berani bertindak demikian kerana berselindung di sebalik nama samaran dan  akaun palsu dengan sewenang-wenangnya membuat komen jelik, ugutan dan hinaan.

Nizam menambah, tindakan tersebut kemudian memberi kesan emosi dan psikologi ke atas mangsa sehingga boleh menyebabkan tekanan dan  kemurungan serta dalam kes yang teruk mencederakan dan membunuh diri.

Oleh itu, katanya semua orang harus tahu sempadan serta had dalam membenarkan diri mereka di buli di alam siber selain bijak menjauhi atau menyekat golongan pembuli berkenaan.

Katanya, kebanyakan platform media sosial menawarkan alat untuk menyekat pembuli siber selain boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Turut hadir Ketua Penerangan Pemuda PGRS pusat, Barhul Sahibu, Timbalan Pengerusi Tetap Exco Wanita Halizah Din, Exco Wanita PGRS Julia ABT dan Pegawai Kerja Biro PGRS Sabah, Halil Rufili.

TAMAT