Home » PANTAS perlu dipergiat, selesai segera isu tanah
Berita Tempatan Politik

PANTAS perlu dipergiat, selesai segera isu tanah

CEMERLANG: Hajiji merakamkan kenangan bersama 87 penerima APC Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan isu pengukuran hak milik tanah anak negeri yang melibatkan rakyat perlu dipergiatkan dan diselesaikan segera.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Program PANTAS yang dilaksanakan sejak 2011 penting dan akan diteruskan.

Justeru, beliau menggesa Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Negeri Sabah supaya peka dan sentiasa mengikuti perubahan keperluan pekerjaan mereka agar dapat dilaksanakan dengan cekap.

“Jabatan Tanah dan Ukur dalam hal ini perlu menyediakan kemudahan dan perkhidmatan terbaik melalui Penolong Pemungut Hasil Tanah dan Pejabat Juruukur Daerah atau Pejabat Penolong Juruukur Daerah supaya orang ramai dapat menjalankan urusan berkaitan tanah di daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Tanah dan Ukur di sini hari ini.

Menurutnya, harapan tinggi terhadap perkhidmatan awam yang lebih baik, termasuk Jabatan Tanah dan Ukur adalah bermakna penyedia perkhidmatan mesti menyesuaikan diri dengan perubahan untuk kekal relevan dalam memenuhi harapan rakyat.

Selain itu, Hajiji turut menasihatkan kakitangan perkhidmatan awam supaya berpegang pada tahap integriti yang tinggi.

“Bagi mengukuhkan lagi budaya kerja, lebih banyak program latihan, kemahiran dan peningkatan pengetahuan mesti dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Tanah dan Ukur atas pencapaiannya dalam membangunkan sistem Smart Geo Sabah.

Hajiji berkata, jabatan itu menetapkan penanda aras bagi transformasi digital berdasarkan tiga konsep iaitu perkhidmatan awam yang inovatif, perkhidmatan awam dengan kapasiti mencukupi serta penciptaan budaya dan perkhidmatan awam yang mengoptimumkan analisis data.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment