Home » Pemimpin wanita berpotensi perlu ditonjolkan – Azizah
Berita Tempatan Politik

Pemimpin wanita berpotensi perlu ditonjolkan – Azizah

HADIR: Azizah bergambar bersama pemimpin wanita GRS dan kakitangan Rumah Sinar Pelangi.

LAHAD DATU: Pemimpin kaum lelaki dan wanita perlu bersatu dalam usaha menjayakan setiap pembangunan di negeri ini.    

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kehadiran pemimpin wanita bukan untuk menyaingi pemimpin lelaki tetapi berjuang bersama demi Sabah dan rakyat.

Katanya, jika semua pihak bekerjasama, maka parti gabungan ini akan lebih kuat kerana setiap perjuangan memerlukan kerjasama semua pihak.

“Sudah tentu kita mahukan lebih ramai pemimpin wanita yang berpotensi, berwibawa dan mesra rakyat untuk ditonjolkan serta diberi peluang menjadi pemimpin, wakil rakyat atau calon pada Pilihan Raya.

“Pemimpin wanita telah menunjukkan bakti, perkhidmatan, kebolehan dan menonjolkan potensi sebagai ‘People’s Friendly Leaders’, jadi kenapa tidak diberikan peluang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Ziarah Kasih di Rumah Sinar Pelangi sekali gus menyantuni dan menyampaikan sumbangan di rumah berkenaan.

Turut hadir mengiringi Azizah ialah Ahli Jawatankuasa Tertinggi Wanita GRS negeri, Ketua Wanita GRS Zon 6B, Datuk Mizma Appehdullah dan Pengarah Kebajikan Negeri Sabah, Jais Asri.

Menurut Azizah, beliau meminta agar pucuk pimpinan memberikan pertimbangan yang serius untuk menambah calon-calon wanita pada Pilihan Raya akan datang.

Azizah menekankan bahawa pemilihan calon-calon wanita yang berpotensi tidak akan mengecewakan kerana telah terbukti sebelum ini.

Mengulas mengenai program berkenaan, Azizah berkata, program ini antara usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menjaga rakyatnya, secara keseluruhan.

Katanya, inilah perjuangan kerajaan sekarang, semua usaha yang dilaksanakan adalah demi kebaikan rakyat selaras dengan konsep ‘Sabah Firs” yang memastikan kepentingan Sabah sentiasa diutamakan.

Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment