Home » 365 ahli WARISAN DUN Apas sertai Gagasan Rakyat
Berita Tempatan Politik

365 ahli WARISAN DUN Apas sertai Gagasan Rakyat

BORANG: Masidi menerima 365 borang keahlian baharu bekas ahli parti WARISAN masuk Gagasan Rakyat.

TAWAU: Seramai 365 orang ahli daripada enam cawangan Parti Warisan (WARISAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Borang keahlian baharu diserahkan kepada Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Bahagian Apas, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kepimpinan yang cemerlang kerajaan negeri hari ini menjadi pendorong rakyat untuk menyertai parti Gagasan Rakyat.

Katanya, orang ramai sudah mula melihat kesungguhan kerajaan negeri membela rakyat dan dengan sendirinya mereka akan menyertai Gagasan Rakyat tanpa paksaan.

“Kepimpinan kita mengajar supaya lebihkan bekerja dan memperlihatkan hasil kepada rakyat, bukannya hanya pandai bercakap memperdayakan rakyat dengan janji-janji kosong.

“Kita perlu mengambil iktibar semasa kepimpinan lalu selama lebih dua tahun, mereka hanya mementingkan diri sendiri dan kroni sahaja tanpa menghiraukan nasib rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan Sabah ketika ini sudah berada pada landasan yang betul kerana kita sendiri jaga rumah kita dan tidak membiarkan sudah orang luar yang mengatur.

Beliau berkata demikian demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Bahagian Apas, pada Ahad lepas.

Menurutnya, sejak Gagasan Rakyat ditubuhkan dua tahun lalu, kita telah berjaya menubuhkan sebanyak 183 cawangan di DUN Apas.

Katanya, daripada 31,146 orang pengundi yang berdaftar di DUN Apas, 11,412 orang adalah ahli Gagasan Rakyat iaitu satu pertiga adalah pengundi kita.

“Saya percaya dalam masa terdekat ini, lebih ramai lagi pengundi di DUN Apas akan menyertai Gagasan Rakyat termasuklah ahli-ahli daripada parti WARISAN.

“Semua ahli Gagasan Rakyat diminta supaya selalu turun padang memberikan pemahaman kepada penduduk tentang kerajaan negeri dan tarik pengundi untuk menyertai parti kita,” katanya.

Nizam yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pusat berkata, kerajaan negeri mempunyai hala tuju Sabah Maju Jaya yang jelas dan telus selama empat tahun memerintah.

“Setiap tahun hasil kita meningkat dan tidak pernah dicapai oleh kerajaan sebelum ini iaitu tahun lalu hampir mencecah tujuh bilion.

“Justeru, saya berharap rakyat di negeri ini terus memberikan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) GRS-PH Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Hamzah Sanudin