Home » Prinsip 5S memperkukuh Gagasan Rakyat:Gulam
Berita Tempatan Politik

Prinsip 5S memperkukuh Gagasan Rakyat:Gulam

ALBUM: Gulam (tengah) bersama sebahagian daripada kira-kira 3,000 perwakilan yang menghadiri mesyuarat agung tahunan itu.

PAPAR: Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diminta menghayati prinsip 5S dalam perjuangan politik bagi memastikan parti kekal relevan dan terus bertambah kukuh di negeri ini.

Prinsip 5S itu ialah setiakawan, sukses, sepasukan, sejahtera dan semangat.

S merupakan huruf permulaan kepada lim abjad yang membentuk perkataan `Sabah’.

Kata kunci perjuangan itu diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Dato Sri Gulam Haidar Khan Bahadar, ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan kedua Gagasan Rakyat Bahagian Kawang di sini pada Ahad.

 Gulam bersama saf kepemimpinan Gagasan Rakyat Bahagian Kawang di pentas utama.
PERJUANGAN: Gulam bersama saf kepemimpinan Gagasan Rakyat Bahagian Kawang di pentas utama.

Beliau berkata prinsip 5S itu adalah formula terbaik bagi mewujudkan kekuatan parti dan memperkukuhkan kestabilan politik di negeri ini.

“Ia juga dapat mewujudkan kemakmuran rakyat dan negeri, sesuai dengan acuan lokal dan formula tempatan yang kita perjuangkan,” katanya.

Ketika memperincikannya, Gulam yang juga Bendahari Gagasan Rakyat berkata setiakawan penting sebagai prinsip perjuangan di semua peringkat saf pimpinan parti. 

“Kita mesti pupuk semangat setiakawan, barulah parti kuat menghadapi lawan,” katanya.

 Gulam menyampaikan cenderakenangan kepada Abdul Rahim selaku wakil daripada Gagasan Rakyat negeri, selepas perasmian selesai.
TERIMA KASIH: Gulam menyampaikan cenderakenangan kepada Abdul Rahim selaku wakil daripada Gagasan Rakyat negeri, selepas perasmian selesai.

Beliau berkata sukses pula adalah matlamat perjuangan dan hala tuju untuk dicapai bersama, iaitu membawa kejayaan dalam semua aspek. 

Manakala prinsip ketiga, katanya, iaitu sepasukan harus dipegang sebagai jati diri setiap ahli demi untuk kekuatan parti. 

“Kita mesti bekerja sebagai satu pasukan, bukan berkumpulan atau berpuak-puak,” tegasnya.

Gulam berkata sejahtera pula harus menjadi matlamat utama untuk memakmurkan rakyat, seiring sifat Gagasan Rakyat yang sentiasa merakyat.

Katanya, semangat sebagai prinsip kelima penting sebagai kekuatan untuk disemai dalam hati setiap ahli parti. 

Beliau menegaskan bahawa semangat mesti kuat supaya parti sebagai tunjang kerajaan menjadi hebat. 

“Diharap prinsip 5S ini menjadi tekad dan pedoman bersama, ke arah kestabilan politik kita dan kemakmuran negeri kita di bawah paksi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Dalam ucapannya itu, Gulam turut menjelaskan mengenai pelbagai pendekatan dan kejayaan kerajaan negeri menerusi SMJ bagi membawa kesejahteraan rakyat, terutama dalam bidang pendidikan.

 Gulam bergambar dengan sebahagian perwakilan yang menghadiri mesyuarat agung tahunan kedua itu.
MESRA: Gulam bergambar dengan sebahagian perwakilan yang menghadiri mesyuarat agung tahunan kedua itu.

Antaranya termasuk inisiatif kerajaan negeri mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menyedia dana membantu pelajar Sabah yang kurang berkemampuan.

Katanya, tabung yang dilancarkan pada Jun 2022 itu sudah memanfaatkan lebih 3,000 pelajar membabitkan peruntukan lebih RM4.4 juta.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Pantai Manis, Datuk Seri Panglima Abdul Rahim Ismail.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment