Home » PRU15: Risau harga tiket kapal terbang mahal
Berita Tempatan

PRU15: Risau harga tiket kapal terbang mahal

Mustaman Mustain isu harga tiket kapal terbang bukan pertama kali timbul, malahan kebiasaannya akan timbul semasa musim perayaan.

LAHAD DATU: Harga tiket kapal terbang yang melambung tinggi khususnya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agak merisaukan pengundi.

Menurut Mustaman Mustain, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, anak Borneo yang berada di perantauan khususnya di Semenanjung Malaysia gusar untuk pulang ke Sabah dan Sarawak bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

“Ada di antara mereka ini yang bekerja di Semenanjung, dan ada juga dalam kalangan mahasiswa.

“Mereka merasa teruja untuk mengundi buat kali pertama tetapi masalahnya berhalangan dari segi harga tiket kapal terbang yang agak tinggi,” ujarnya dalam media sosial hari ini.

Menurutnya, isu harga tiket kapal terbang bukan pertama kali timbul, malahan kebiasaannya akan timbul semasa musim perayaan.

Malah, katanya isu itu timbul lagi pada musim PRU15 dan menjadi halangan besar bagi anak Borneo yang ingin pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

“Saya ingin mencadangkan agar Kementerian Pengangkutan berbincang dengan syarikat pengangkutan udara supaya dipertimbangkan dikurangkan harga tiket agar meletakkan harga yang berpatutan.

“Bagi mahasiswa, sewajarnya diberi potongan harga istimewa kerana kita faham dari segi kemampuan kewangan mereka agak kurang,” katanya.

Tambahnya, sekiranya perlu, kementerian boleh mengadakan perbincangan yang melibatkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk membantu agar isu itu diselesaikan dengan segera dan tuntas.

Beliau turut mencadangkan ajar golongan perantau itu khususnya mahasiswa yang belajar di Semenanjung, diberi peluang untuk membuang undi dalam bentuk undi pos.

Menurutnya, setakat ini, undi pos hanya untuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara atau terpaksa bertugas semasa hari membuang undi.

Oleh itu, ujarnya kategori itu boleh diluaskan atau dibincangkan di peringkat parlimen dan dijadikan undang-undang baru dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kategori rakyat yang merantau di luar daripada negeri pun layak untuk mengundi secara pos.

–SUZIANA GHANI

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment