Home » Bersiap siaga berhadapan PRN17
Berita Tempatan Politik

Bersiap siaga berhadapan PRN17

KENANGAN: Masiung (dua kiri) menyampaikan baju Gagasan Rakyat kepada Kalmin ketika dalam majlis itu.

TONGOD: Tiga sayap utama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diminta membentuk jentera masing-masing untuk bergerak sebagai satu pasukan pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, membayangkan PRN ke-17 akan diadakan sebelum pertengahan tahun hadapan.

“Pemuda, Wanita dan Beliawanis perlu membentuk jentera masing-masing untuk bergerak satu pasukan dalam kempen PRN yang bakal diadakan bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung tahunan Gagasan Rakyat di sini, pada Ahad.

Sementara itu, empat pemimpin utama parti pembangkang di Tongod telah mengumumkan keluar daripada parti masing-masing dan menyertai Gagasan Rakyat di kawasan itu.

Mereka ialah Abdul Gafar Jailani bekas Penyelaras UMNO Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keramuak, Micheal Orogan, bekas Pengerusi Penyelaras UMNO Zon Tongod, Libon Ali, Penyelaras BERSATU Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut dan Ketua Cawangan UMNO Bingkulat, Kalmin Bambasang.

Masiung mengarahkan ketua-ketua PDM Gagasan Rakyat dan pengerusi zon di setiap kawasan supaya bersiap siaga membentuk pasukan bagi berhadapan dengan PRN.

Menurutnya, Gagasan Rakyat akan menjalinkan hubungan kerjasama dengan parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan jentera kempen PRN di seluruh negeri.

SERAH: Masiung menyampaikan baju Gagasan Rakyat kepada Libon (kanan).

“Mulai sekarang semua jentera parti dalam GRS tidak boleh berlengah dan menumpuhkan usaha menyusun gerak kerja pilihan raya secara aktif.

“Ketiga-tiga sayap utama GRS harus turun padang bagi menyelami masalah masyarakat di peringkat akar umbi, selain bergerak dalam satu pasukan dengan matlamat yang sama,” katanya.

Terdahulu, Masiung merasmikan pejabat baharu Gagasan Rakyat Kuamut di Dataran Tongod yang menempatkan pejabat Gagasan Rakyat dan Unit Pemimpin Pembanguan Masyarakat (UPPM).

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment