Home » Pencapaian kerajaan GRS perlu difahami masyarakat : Nizam
Berita Tempatan Politik

Pencapaian kerajaan GRS perlu difahami masyarakat : Nizam

KENANGAN: Nizam (kanan) bersama Amisah (tengah) ketika dalam program itu.

RANAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Paginatan perlu memberi pencerahan terhadap dasar kerajaan dibawah kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara ini penting bagi menunjukkan pencapaian dikecapi dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, menuju ke arah itu Biro Penerangan Bahagian Paginatan perlu aktif menyalurkan maklumat tepat, sekali gus berusaha menepis tohmahan fitnah daripada pihak pembangkang.

“Inilah masa terbaik untuk Biro Penerangan Bahagian Paginatan memberi kefahaman terhadap pencapaian kerajaan agar masyarakat luar bandar menerima maklumat yang sangat jelas.

“Melalui penganjuran pelbagai program seperti ini, kita yakin ia akan membuka ruang untuk kerajaan mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Penerangan Isu-Isu Semasa anjuran Biro Penerangan Bahagian Paginatan, di sini pada Sabtu.

Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, ini kerana maklumat ini dilihat sangat penting agar masyarakat di luar bandar mengetahui secara lebih jelas.

“Inilah merupakan objektif utama program ini untuk memberi penerangan secara komprehensif bagi menyebar luas pelbagai isu semasa terutama dalam konteks pembangunan infrastruktur di negeri ini.

“Selain itu, masyarakat juga perlu diberi penerangan terhadap pelan ekonomi kerajaan negeri serta pelbagai bantuan yang boleh disalurkan kepada rakyat di kawasan luar bandar,” katanya.

Menurutnya, langkah ini akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap usaha-usaha pembangunan sedang dilaksanakan, sekali gus memastikan sokongan padu rakyat atas inisiatif kerajaan.

“Saya memberi pujian kepada Biro Penerangan Bahagian Paginatan kerana berjaya menganjurkan khususnya di kawasan daerah ini.

“Program ini merupakan satu langkah dalam memperkukuhkan keyakinan ahli Gagasan Rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan demi menjamin kewujudan kestabilan politik sekali gus merealisasikan slogan Sabah Maju Jaya,” katanya.

Hadir sama, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Paginatan, Datuk Amisah Yassin, Ketua Penerangannya, Mohd. Jamian Abd Manan dan Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment