Home » GRS mampu rampas kerusi DUN Sekong PRN akan datang
Berita Tempatan Politik

GRS mampu rampas kerusi DUN Sekong PRN akan datang

RASMI: Masiung (tengah) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sekong.

SANDAKAN: Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mampu rampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong daripada parti Warisan (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Masiung Banah berkata, GRS mempunyai peluang besar rampas kerusi DUN Sekong berdasarkan sokongan rakyat terhadap parti ini.

“Secara peribadi saya melihat GRS tidak mempunyai masalah untuk menyumbangkan satu kerusi baharu di kawasan Sekong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sekong di Dewan Masyarakat, di sini semalam.

Masiung yang juga Penyelaras Gagasan Rakyat Zon 10 Parlimen Batu Sapi, Kinabatangan dan Sandakan optimis kerusi DUN Sekong berpotensi besar menjadi milik GRS pada PRN akan datang.

“Walaupun Sekong diwakili pembangkang ketika ini, tetapi pengundinya tidak boleh dibiarkan terus terasing tanpa peruntukan kerajaan menerusi wakil rakyat.

“WARISAN kini dalam keadaan terhimpit selepas pentadbiran mereka selama 22 bulan lalu hambar ‘ala Semporna’,” katanya.

Menurutnya, bagi Parlimen Batu Sapi, slogan ‘DUN Karamunting kita pertahan, Sekong kita tawan’ telah diciptakan sebagai pencetus semangat para pemimpin dan penyokong GRS.

Masiung turut berkeyakinan bahawa Gagasan Rakyat Sekong dilihat mampu membina kekuatan sebagai kuasa besar parti itu bagi membantu GRS meraih kemenangan.

Beliau berkata, Gagasan Rakyat Sekong adalah antara yang terawal membentuk jentera pilihanraya pelbagai peringkat termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis.

“Dengan kekuatan lebih 200 cawangan dan lebih 7,000 orang ahli, Gagasan Rakyat mampu menawan kerusi DUN Sekong,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment