Home » Sabah tuntut minta dikembalikan kuota satu pertiga kerusi Parlimen
Berita Tempatan Politik

Sabah tuntut minta dikembalikan kuota satu pertiga kerusi Parlimen

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr.Kasim Haji Mansor dan pegawai utama universiti bergambar bersama siswa siswi baharu UMS pada Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 di Dewan Canselor UMS pada Selasa.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu mengambil kira beberapa faktor tertentu berkaitan pemilihan kerusi Parlimen bagi memenuhi kuota 35 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya sudah melakukan perbincangan bersama kerajaan Sarawak bagi meminta kerajaan Persekutuan mengembalikan kuota satu pertiga kerusi Parlimen kepada dua negeri terbabit.

“Kita sudah bincang dengan kerajaan negeri Sarawak sebanyak dua kali untuk kita meminta sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen kerana ini adalah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila kita menubuhkan negara Malaysia.

“Jadi, kita telah pun menyatakan hasrat dan kemahuan kita ini kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat MA63 pada 12 September yang lepas.

“Kita kena tengok dari segi keadaan kawasan, kependudukan, keluasan Sabah dan sebagainya. Ini adalah untuk menyeimbangkan dimana apabila kita memperkenalkan satu perlembagaan dalam Parlimen, kepentingan Sabah dan Sarawak juga diambil kira.

“Bilangan pengundi atau penduduk mesti juga diambil kira. Takkanlah satu parlimen tapi pengundinya 20,000 orang sahaja. Ini sebagai contoh. Jadi kita akan terus meminta dan berbincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 kali ke-30 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselor di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Sebelum ini, media melaporkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menggesa Kerajaan Persekutuan mengembalikan kuota satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen kepada Sarawak dan juga Sabah.

Ia bagi mengelak Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan yang akan menjejaskan kepentingan Sarawak dan Sabah.

— Rafiqah Dahali