Home » PRN17 Sabah: PAS tiada dalam senarai rundingan kerjasama GRS
Berita Tempatan Politik

PRN17 Sabah: PAS tiada dalam senarai rundingan kerjasama GRS

ALBUM: Masidi (tengah) bersama para pemimpin Gagasan Rakyat merakamkan gambar kenangan pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak memasukkan PAS untuk rundingan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu buat masa ini tidak tersenarai dalam proses rundingan yang akan dibuat.

Katanya, perkara itu mengambil kira kedudukan PAS dalam PN dan GRS yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“PAS berada dalam PN, jadi buat masa ini ia tidak dipertimbang untuk dimasukkan dalam kerjasama politik dengan GRS,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat),pada Sabtu di sini.

Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat bagaimanapun berkata Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang kini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik boleh dilantik semula menduduki kerusi itu.

Aliakbar menjadi ADUN Dilantik selepas PRN16 pada 2020 sejajar kedudukan PAS ketika itu sebagai sebahagian daripada rakan kerjasama GRS di bawah PN.

Masidi sebelum ini ditugaskan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Rundingan Gagasan Rakyat yang akan membincangkan agihan kerusi dalam kalangan parti komponen GRS dan rakan parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Mengenai kedudukan Parti Maju Sabah (SAPP) yang ketika ini masih menjadi parti komponen PN dan turut berada dalam GRS, Masidi berkata parti itu perlu membuat keputusan mengenai pendirian mereka.

Katanya, pemimpin parti itu perlu membuat keputusan sama ada mahu berada di bawah PN atau GRS.

Sebelum ini, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee menjelaskan parti pimpinannya akan bersama GRS pada PRN17 dan berpendirian PN tidak perlu bertanding pada pilihan raya itu.

—Izwan Abdullah