Home » PN platform terbaik angkat aspirasi Beluran di peringkat nasional
Berita Tempatan Politik

PN platform terbaik angkat aspirasi Beluran di peringkat nasional

Ronald berkata BERSATU masih parti komponen GRS di Sabah, namun di peringkat nasional, BERSATU dan dua parti komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta Parti Progresif Sabah (SAPP) adalah komponen PN.

BELURAN – Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menawarkan diri untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Ronald yang merupakan penyandang kerusi selama lima penggal sejak 1999, bertembung dengan calon Barisan Nasional (BN), iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Benedict Asmat.

Ronald berkata BERSATU masih parti komponen GRS di Sabah, namun di peringkat nasional, BERSATU dan dua parti komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta Parti Progresif Sabah (SAPP) adalah komponen PN.

“Saya bertanding atas tiket PN, parti (gabungan) dianggotai beberapa buah parti peringkat nasional juga negeri dan platform (PN) ini merupakan platform terbaik bagi mengangkat aspirasi Beluran di peringkat nasional,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon PRU15 Parlimen Beluran di Dewan Serbaguna Beluran di sini hari ini.

Ronald berkata agenda besar yang perlu diangkat di kawasan Parlimen itu adalah pembangunan berterusan dan mengangkat masalah infrastruktur yang kekurangan dan jurang peruntukan luar bandar kepada Beluran.

GRS yang dianggotai BERSATU Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, SAPP dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), menjalin kerjasama dengan BN dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi membentuk kerajaan Sabah.

Kerusi Parlimen Beluran menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan calon lain ialah Rowiena Rasid daripada Parti Warisan (WARISAN), Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mewakili Pakatan Harapan.

Berita Bersatu



About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment