fbpx
Home ยป Anggota polis maut kemalangan dalam perjalanan hantar keluarga balik kampung
Am Berita Dalam Negara Kemalangan

Anggota polis maut kemalangan dalam perjalanan hantar keluarga balik kampung

Kenderaan SUV jenis Perodua Aruz yang dipandu Koperal Ahmad Ibrahim terbabas ke dalam sungai di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, Kelantan pada awal pagi ini. – Gambar Astro AWANI

GUA MUSANG: Hasrat seorang anggota polis trafik yang mengambil cuti dua hari untuk menghantar isteri, tiga anak dan dua adik iparnya beraya di kampung halaman tidak kesampaian apabila kenderaan dipandunya terbabas ke dalam sungai di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, Kelantan hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.50 pagi, mangsa, Koperal Ahmad Ibrahim, 31, dari Balai Polis Trafik Klang Selatan, Klang, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa Ahmad yang memandu SUV jenis Perodua Aruz dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Kuala Krai.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, SUV dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum terbabas ke dalam sungai.

Katanya, insiden itu menyebabkan Ahmad meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, isteri mangsa, Nurulasma Zakaria, 31, bersama tiga anak mereka berusia lapan bulan hingga empat tahun dan dua adik ipar mangsa mengalami kecederaan.

Tambah Choon Foo, siasatan mendapati, mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan menghantar isteri, anak dan adik iparnya pulang ke Kuala Krai untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebelum pulang semula ke Klang untuk bertugas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

AWANI

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!