fbpx
Home » Bayaran porter di Gunung Kinabalu akan diselaraskan
Berita Tempatan

Bayaran porter di Gunung Kinabalu akan diselaraskan

DATUK Jafry Ariffin (depan tiga kiri) bersama Sutera Sanctuary Lodge, Mountain Torq, Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter Gunung Kinabalu selepas sesi dialog di Kundasang. FOTO ihsan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah

Kota Kinabalu: Bayaran untuk perkhidmatan porter biasa yang mengangkat barangan pengendali penginapan dan restoran di Gunung Kinabalu akan diselaraskan dengan bayaran porter atau malim gunung yang membawa barangan pendaki.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkata, bayaran itu perlu mengikut kadar yang ditetapkan Taman-Taman Sabah (TTS) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Taman Kinabalu di Kundasang, Ranau.

Beliau berkata, ketika ini, kadar upah ditetapkan TTS untuk porter mengangkat barang pendaki Gunung Kinabalu ialah RM13 sekilogram dengan berat minimum 10 kilogram, manakala kadar bayaran porter mengangkat barangan syarikat pengendali penginapan dan restoran hanya RM5 sekilogram.

Katanya, kadar berkenaan rendah berbanding kadar upah ditetapkan TTS ketika ini iaitu RM5.50 sekilogram.

“Laporan TTS menunjukkan, secara purata pendapatan seorang porter pendaki Gunung Kinabalu dengan pendakian sebanyak 12 kali sebulan ialah RM3,540, manakala porter biasa hanya mendapat RM2,625 dengan 15 pendakian sebulan dan berat 35 kilogram sekali pendakian.

“Oleh itu, kita mahu beliau agar pihak Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq juga dapat mempertimbangkan untuk menyelaraskan kadar upah yang sama dengan TTS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ia susulan sesi dialog bersama TTS, Sutera Sanctuary Lodge, Mountain Torq, Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter Gunung Kinabalu semalam.

Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq ialah dua syarikat yang mengendalikan penginapan dan restoran serta aktiviti pendakian mencabar, via feratta.

Jafry berkata, bagi perkhidmatan malim gunung, kadar upah ketika ini ialah RM230 untuk dua hari satu malam dengan purata seorang malim gunung melakukan 13 pendakian mengiringi pendaki dalam sebulan dengan anggaran pendapatan RM2,990.

“Namun, kadar upah porter dan juga malim gunung itu akan dibincangkan dari semasa ke semasa agar mereka juga mampu meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan serta mempunyai standard kehidupan yang lebih baik.

“Upah mereka perlu sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan khususnya kepada pendaki Gunung Kinabalu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut meluluskan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter Gunung Kinabalu bagi membantu persatuan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

hmetro

About the author

Admin Wa

Add Comment

Click here to post a comment

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!