fbpx
Home » Bekalan ayam mulai pulih
Berita Tempatan Makanan Pertanian

Bekalan ayam mulai pulih

“Bekalan ayam kita mulai stabil tetapi setakat ini, kita masih mengekalkan larangan eksport ayam ke negara itu,” - Ronald Kiandee

SERDANG, 9 Jun – Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, mengesahkan bekalan ayam dalam negara sudah mulai pulih.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, ia berdasarkan semakin kurang laporan berhubung krisis bekalan bahan mentah itu yang didengar daripada pihak berkaitan sejak beberapa hari kebelakangan ini.

“Laporan yang diterima berkurangan. Ada dengar laporan bekalan kurang dalam beberapa hari ini? Maknanya ia sudah mulai stabil,” katanya kepada pemberita pada Majlis Prapelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Begitupun, Ronald memaklumkan, kerajaan masih mengekalkan larangan eksport ayam, termasuk ke Singapura.

“Bekalan ayam kita mulai stabil tetapi setakat ini, kita masih mengekalkan larangan eksport ayam ke negara itu,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, kerajaan mengumumkan pemberhentian eksport 3.6 juta ayam sebulan mulai 1 Jun, sebagai antara lima pendekatan segera jangka pendek dalam usaha mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan itu.

Tindakan itu diputuskan hasil mesyuarat Kabinet, dan akan berkuat kuasa hingga harga serta pengeluaran ayam tempatan kembali stabil, dengan memberi keutamaan kepada memenuhi keperluan rakyat negara ini.

Berita Bersatu

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!