fbpx
Home » Bergaduh Sama Sendiri
Politik sudut pandangan

Bergaduh Sama Sendiri

Mereka sibuk menyerang Bersatu, dalam masa yang sama, mereka bergaduh sama sendiri.

KETIKA ‘taikun besar’ Umno sibuk menyindir Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, kononnya Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan tidak memberi apa-apa sumbangan kepada negara, tiba-tiba meletus perang terbuka antara Datuk Seri Tajuddin Rahman dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam surat pemecatan Tajuddin yang ditandatangani Setiausaha Agung Umno, Mat Selan mahukan Tajuddin menumpukan tugas barunya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, dibalas oleh Tajuddin dengan kata-kata, “Ahmad Zahid eloklah berhenti dari jawatan Presiden Umno untuk menumpukan kes peribadinya di mahkamah.”

Pukulan selamba Tajuddin ini bukan sahaja terkena batang hidung Ahmad Zahid, tetapi ‘taikun besar’ yang banyak duit pun terasa sama.

Mana mungkin ‘taikun besar’ tidak terasa, kerana sebelum Ahmad Zahid didakwa dengan puluhan tuduhan di mahkamah, ‘taikun besar’ sudah mendahului.

Yang menarik kisah Tajuddin dengan Ahmad Zahid ini ialah, tidak ramai ‘bala tentera Umno’ berani mencelah.

Jika mereka menyebelahi Ahmad Zahid, takut juga andaikata Tajuddin mendedahkan pekung mereka sama.

Nak mempertahankan Tajuddin, macam mustahil boleh berlaku, kerana dalam Umno, masa gelak, mereka gelak bersama-sama.

Masa ‘menangis’ engkau menangislah seorang diri

Kalau ada pun yang mengakui kebenaran di pihak Tajuddin, mungkin mereka sencara senyap-senyap pergi ke rumah Tajuddin dan menyatakan simpati.

Secara terbuka, tidak mungkin kerana, Ahmad Zahid sebagai Presiden amat berkuasa. Bila-bila pemecatan dan tindakan penggantungan keahlian boleh dikenakan.

Mereka sibuk menyerang Bersatu, dalam masa yang sama, mereka bergaduh sama sendiri.

Itulah sebabnya, pesan orang tua, jangan sibuk mengata kekurangan orang lain. Bukankah elok beli cermin besar untuk mencermin diri sendiri.

Saya setuju sangat dengan kenyataan sinis Tajuddin bahawa Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan atau Mad Hasan, seorang pemimpin “yang tak boleh pakai”.

Saya dah lama menulis mengkritik Mad Hasan ini, tetapi ada orang Umno Negeri Sembilan nak terbalikkan meja, mempertahankannya.

Kini, bila Tajuddin mengatakan Mad Hasan belot, ada ke sesiapa yang akan terbalikan meja?

Suara Khaled Nordin pun tidak kedengaran. Kalau pasal Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin, Khaled dari KOK (Kelab Orang Kalah) antara yang lantang menyerang.

Kononnya, dialah yang hebat. Kononnya dialah yang pandai. Bila Tajuddin menyebut, Khaled pun ada bersama ketika ‘pertemuan membincangkan meminta Ahmad Zahid berundur dibuat, di kediaman Tajuddin.

Inilah sebenarnya ‘fiil’ mereka yang duduk dalam Umno. Mereka suka melontar batu sembunyi tangan.

Suara dari Pemuda, Puteri dan Wanita Umno mana? Semuanya “telur dan mengecil? Atau semuanya sudah tidak bertelur?

Pemuda, Puteri dan Wanita Umno, kamu mungkin baru kenal Tajuddin Rahman. Kamu tidak melihat sejarah beliau sejak sekian lama.

Beliau pernah ditahan di bawah ISA kerana isu Ketuanan Melayu menentang serangan Lee Kim Sai, Ketua Pemuda MCA ketika itu.

Lee Kim Sai pun mungkin Ketua Pemuda Umno, Ketua Puteri Umno dan Ketua Wanita Umno baru ingat namanya, bila Tajuddin sebut.

Tahukah kamu, ada seorang bekas Setiausaha Politik Kim Sai pernah jadi Presiden MCA? Tahukah kamu Kim Sai ini Ahli Parlimen mana?

Dah banyak yang terdedah. Yang buruk-buruk mengenai Umno, yang dianggap keramat dan rumah agam, sebenarnya penuh dengan “kebusukan” yang menjijikkan.

Kamu semua boleh sembunyikannya tetapi, suatu masa nanti ia akan terdedah juga.

Dari atas, sampai ke bawah, cukup ramai pembohong, kaki sakau dan penipu duduk dalam rumah agam itu.

*Daud Ibrahim merupakan penulis bebas

**Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pandangan Sabah Baru News

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!