fbpx
Home » Bukan masa sesuai adakan PRU15 kerana inflasi, kos sara hidup sedang meningkat – PM
Berita Dalam Negara Politik

Bukan masa sesuai adakan PRU15 kerana inflasi, kos sara hidup sedang meningkat – PM

Ahli Parlimen Bera itu dilaporkan sebagai berkata, beliau masih menunggu waktu yang sesuai untuk membubarkan Parlimen. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak kemungkinan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal, dan menganggap ia tidak sesuai memandangkan kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup yang berkaitan.

Menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini, Ahli Parlimen Bera itu dilaporkan sebagai berkata, beliau masih menunggu waktu yang sesuai untuk membubarkan Parlimen.

Katanya lagi, kenaikan harga barang makanan serta kos sara hidup itu, dilihat berpunca dari ketegangan yang berlaku di peringkat global akibat peperangan antara Rusia dan Ukraine.

“Kita sekarang sedang menghadapi peningkatan inflasi, dengan harga barangan yang melambung tinggi … awak rasa ia waktu yang sesuai (untuk adakan pilihan raya?,” katanya seperti dilaporkan Nikkei.

Ismail Sabri, yang juga merupakan Naib Presiden dalam UMNO, didakwa sedang menghadapi tekanan dari pihak tertentu dalam parti, bagi membubarkan parlimen lebih awal.

Menurut laporan media terdahulu, Bank Negara Malaysia mengunjurkan kenaikan inflasi antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus tahun ini, dengan kenaikan harga barangan sekitar 4.3 peratus.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, perbubaran parlimen tidak boleh dilakukan melebihi tempoh yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan (Ogos 2023), tetapi untuk mengadakannya lebih awal bergantung kepada situasi semasa.

“InsyaAllah saya akan membuat keputusan bila waktu yang sesuai,” katanya lagi.

Selain itu Ismail Sabri dilaporkan sebagai berkata, beliau adalah seorang patuh kepada kehendak parti, dan akan menurut keputusan UMNO serta Kabinet dalam soal pembubaran Parlimen.

— AWANI

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!