fbpx
Home » Dapat Tambah Ahli?
Politik PPBM sudut pandangan

Dapat Tambah Ahli?

Saya mengkritik ini bukan mahu mendedahkan kelemahan tetapi mahu melihat Bersatu menjadi sebuah parti yang semakin kuat, semakin besar dan semakin disukai.

SUASANA Hari Raya masih terasa. Dalam kesibukan memenuhi jemputan menghadiri majlis Jamuan Hari Raya dan Rumah Terbuka, saya mengesyorkan, supaya kita setiap ahli Bersatu, menambah keahlian parti kita melalui pertemuan-pertemuan dalam majlis-majlis ini.

Dua kali PRN, Melaka dan Johor cukup mengajar kita bila kita tidak mempunyai cawangan (PDM), maka sukar bagi kita (baca: calon) hendak memulakan kempen. Jadi, dengan mempunyai keahlian yang ramai, kita pastinya akan dapat menarik minat pengundi atas pagar Bersama-sama kita.

Syarat pertama untuk menambah keahlian ialah dengan mempermudahkan! Jangan dipersulitkan. Seorang kenalan saya memberi tahu, dia mendaftar menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak lima tahun yang lalu.

Tetapi, dia tidak diberikan kad keahlian sedangkan kawan-kawannya yang lain memilikinya.

Baru-baru ini saya cuba menghubungi pihak tertentu yang mempunyai hubungan rapat dengan Ibu Pejabat Bersatu.

Jawapan yang saya terima, “parti tidak lagi meneruskan sistem pemberian kad keahlian”.

Perkara ini perkara kecil (bagi mereka di Ibu Pejabat) tetapi amat besar kepada ahli yang menunggu kad keahlian sejak lima tahun yang lalu.

Beliau tidak pernah diberitahu bahawa parti sudah menghentikan pengeluaran kad keahlian kepada ahli-ahli.

Dalam masa yang sama, apakah pemegang kad keahlian yang sudah menjadi “tak valid” lagi? Apa yang sukar sangat sebenarnya mengeluarkan kad keahlian ini? Mahal? Atau kurang tenaga untuk mengedarkannya?

Kenapa tidak diswastakan sahaja kepada bahagian-bahagian supaya ia boleh mendatangkan “pendapatan” kepada bahagian?

Saya mengkritik ini bukan mahu mendedahkan kelemahan tetapi mahu melihat Bersatu menjadi sebuah parti yang semakin kuat, semakin besar dan semakin disukai.

Jangan bagi jawatan kepada pemegang jawatan yang sudah terbeban dengan pelbagai tugasan besar. Mereka akan sanggup menerima perlantikan dan jawatan tetapi percayalah, mereka tidak akan berjaya melaksanakannya.

Bagi-bagikan tugas dan tanggungjawab. Yang pekak, biar dia meletupkan Meriam. Yang tempang biar dia menyapu sampah dan yang buta biar dia menghebus tepung. Jangan semua tugas diserahkan kepada seorang yang akhirnya “terbengkalai”.

Yang pandai bercakap, jangan suruh dia buat kerja-kerja pengurusan. Nanti berterabur dibuatnya.

Yang pandai beri penerangan, jangan beri dia tugas menambah ahli, elok-elok terang, jadi gelap nanti.

Yang tak pandai bercakap, beri dia tugas buat surat dan dekatilah ahli dengan surat-menyurat, hubungan melalui maya seperti email dan sebagainya, supaya ahli sentiasa merasai mereka didekati oleh parti dan kepimpinan.

Susah? Kalau tidak sanggup, letak jawatan dan biarlah pucuk pimpinan melantik orang lain yang sanggup melaksanakannya.

Bersatu disukai. Bersatu digemari. Bersatu dihormati tetapi, ada titik bengek yang perlu dibuang.

Percayalah, Bersatu akan dapat menggantikan Umno apabila Bersatu dapat melancarkan segala “karenah” yang masih wujud ini.

Saya sendiri mengimpikan Bersatu, suatu hari nanti mempunyai cawangan di mana-mana. Saya melihat sendiri, betapa sukarnya Bersatu hendak bergerak di DUN Endau dan Tenggaroh kerana ketiadaan cawangan.

Nasib baik calon PN ketika itu mempunyai “inisiatif” sendiri yang luar biasa pendekatannya. Ada group Zumba, ada group nelayan, ada group sepak takraw dan sebagainya…. Bergerak cara sendiri dengan NGO, tanpa “nama parti”.

Ia tidak boleh berterusan dan bahagian-bahagian Bersatu perlu lebih “cakna” dalam isu ini. Untuk menghadapi PRU15, pengalaman dalam PRN Melaka dan Johor perlu dijadikan “panduan” yang berguna.

*Daud Ibrahim adalah penulis bebas

**Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Sabah Baru News

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!