fbpx
Home ยป ‘Dipenjarakan adalah hadiah besar dari Tuhan’ – Ahmad Dhani
Berita Luar Negara Hiburan

‘Dipenjarakan adalah hadiah besar dari Tuhan’ – Ahmad Dhani

Ahmad Dhani pada sidang media mengenai konsert 30 tahun Dewa 19 di Kuala Lumpur. FOTO ROHANIS SHUKRI

Kuala Lumpur: “Ia hadiah paling besar dari Tuhan untuk saya,” kata Ahmad Dhani, 50, pengasas kumpulan rock legenda Indonesia, Dewa 19 mengenai pengalamannya dipenjara 18 bulan pada 2019.

Ahmad Dhani ketika ditemui berkata, dia tidak pernah menyesal dengan perkara itu kerana ia juga membuatkan dia menjadi lebih kuat dan matang.

“Tak ada penyesalan. Kenapa nak menyesal jika itu ‘hadiah’ untuk saya? Jadi, saya ucapkan terima kasih.

Ini kerana sesuatu yang tidak boleh membunuh anda, memberikan anda kekuatan,” katanya dalam satu temubual bersama Harian Metro, di sini, hari ini.

Ahmad Dhani yang juga pemain keyboard dan penyanyi Dewa 19 dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan pada 28 Januari 2019 di Cipinang, Jakarta Timur selepas didapati bersalah menyebarkan mesej berunsur kebencian dalam tiga kenyataan di Twitter.

Ahmad Dhani berkata, ramai orang memberi pelbagai reaksi apabila dia dipenjara, namun ia bergantung kepada cara kita memahami maknanya.

“Semua orang tahu saya dipenjara bukan kerana jenayah yang sebenar, tapi sebab politik dan pada waktu itu ada pilihan raya di Indonesia.

“Orang boleh kata macam-macam di mana ia adalah hukuman, cubaan dan ujian dari Tuhan. Namun, bagi saya ia adalah ganjaran atau hadiah paling besar,” katanya.

Menurut Dhani, hanya orang yang pernah dipenjarakan tahu apa yang dirasakan dan ia tidak diceritakan kepada orang yang tak pernah dipenjara.

“Saya tak pernah merancang semua ini, Tuhan yang aturkan semuanya,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Dhani hadir ke Kuala Lumpur bagi menjayakan persembahan di festival Garden Of Eid di Taman Botani Perdana, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ahmad Dhani turut berkongsi khabar gembira buat peminat Dewa 19 di negara ini apabila mereka bakal mengadakan Konsert Ulangtahun Ke-30 Dewa 19 di Kuala Lumpur, September ini.

Konsert berkenaan yang bermula Surabaya, Jumaat lalu bakal diadakan di 30 bandar termasuk dua di luar Indonesia iaitu Kuala Lumpur dan Singapura.

Dalam setiap konsert itu, mereka akan membawakan 30 lagu bersama barisan penyanyi seperti Ari Lasso, Once dan Ello.

“Kami juga akan membawakan lagu-lagu yang jarang dimainkan sebelum ini dari album pertama hingga album terakhir yang rata-ratanya diketahui peminat Dewa 19 iaitu Baladewa,” katanya.

Kali terakhir Dewa 19 mengadakan konsert di Malaysia adalah pada 2 Februari 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam.

Bagaimana, ia berlangsung tanpa Ahmad Dhani yang ketika itu dipenjara dan dia digantikan anaknya, Abdul Qodir Jaelani.

hmetro

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!