fbpx
Home ยป Dua peguam positif COVID-19, bicara kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh
Berita Dalam Negara Covid-19 Isu & Kontroversi

Dua peguam positif COVID-19, bicara kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan kes rasuah berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke 22 Ogos berikutan dua peguamnya dijangkiti COVID-19. – Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke 22 Ogos berikutan dua peguamnya dijangkiti COVID-19.

Peguam Aiman Abdul Rahman yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa peguam utama kes itu, Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh dijangkiti COVID-19.

“Pihak kami telah memfailkan surat kepada mahkamah pada 2 dan 3 Ogos lepas dengan menyatakan peguam Hisyam dan Hamidi dijangkiti COVID-19 dan kami mohon supaya tarikh perbicaraan hari ini ditukar kepada sebutan dan perbicaraan seterusnya pada 22 Ogos,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob tidak membantah perkara itu.

Hakim Sequerah kemudian berkata, berdasarkan alasan yang dikemukakan pihak pembelaan, tarikh perbicaraan hari ini dilapangkan dan akan bersambung pada 22 Ogos ini.

Ahmad Zahid yang memakai baju kurta putih hadir pada prosiding hari ini.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Zahid sepatutnya disoal balas pihak pendakwaan berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Ahmad Zahid, 69, berdepan dengan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB. – BERNAMA

AWANI

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!