fbpx
Home ยป Dua suspek ditahan tipu perunding kewangan lebih RM600,000 – Polis
Berita Dalam Negara Jenayah

Dua suspek ditahan tipu perunding kewangan lebih RM600,000 – Polis

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua suspek, seorang lelaki dan wanita berumur 56 dan 57 tahun bagi membantu siasatan kes penipuan dokumen perbankan melibatkan kerugian lebih RM600,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata kedua-dua suspek yang merupakan dalang utama kes berkenaan ditahan di Jalan Bukit Bintang pada pukul 12.20 tengah hari pada Khamis.

Beliau berkata tangkapan berkenaan adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang perunding kewangan pada 10 Jun lepas yang mendakwa beliau ditipu ketika berurusan dengan kedua-dua suspek bagi mendapatkan dokumen ‘Standby Letter Of Credit’ yang bernilai USD 250 Juta dari bank di luar negara bagi menjalankan perniagaan antarabangsa di Korea.

“Mangsa telah membuat bayaran tunai secara berperingkat pada 27 Feb dan 2 Mac lepas berjumlah keseluruhan RM629,000 kepada suspek lelaki bagi tujuan bayaran wang pemprosesan.

“Pada 4 Mac lepas, mangsa telah menerima e-mel dari pihak ketiga yang mengemukakan dokumen berkenaan urus niaga tersebut dan curiga dengan dokumen itu beliau telah membuat pengesahan di sebuah bank tempatan dan ia disyaki palsu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya kedua-dua suspek direman empat hari sehingga 20 Jun ini dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mohd Mahidisham turut menasihati orang ramai supaya membuat semakan dengan menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan Bank Negara Malaysia (BNMTELELINK) di talian 1300 88 5465.

— BERNAMA

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!