fbpx
Home » Duit raya dalam bentuk simpanan SSPN
Am

Duit raya dalam bentuk simpanan SSPN

KUALA LUMPUR, 29 April – Seramai 50 anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni, Taman Keramat menerima sumbangan duit raya berbentuk simpanan di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Ketua Penerangan BERSATU yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sumbangan itu diberikan menerusi program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN yang diadakan setiap tahun.

Menurut beliau, sumbangan duit raya berbentuk simpanan itu adalah sebagai galakan penabungan untuk pendidikan dan menjamin masa depan mereka.

“Sebanyak RM100 akan dikreditkan dalam akaun Simpan SSPN Prime penerima melibatkan jumlah keseluruhan duit raya sebanyak RM5,000 kepada penghuni rumah tersebut.

“Mereka juga dibelikan baju raya di Jakel, sumbangan juadah buka puasa dan kuih raya, selain pemberian buku-buku rujukan dan latihan dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM25,000,” katanya pada Program Raikan Syawal bersama anak-anak yatim Rumah Kasih Harmoni, Taman Keramat, pada Rabu.

Pada program sama, Wan Saiful turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Rumah Kasih Harmoni bagi menampung keperluan asas dan harian.

“Ini merupakan sumbangan yang boleh memberi manfaat jangka masa panjang kepada mereka. Penyumbang lain yang mahu memberikan sumbangan juga digalakkan untuk memberikan sumbangan berupa pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN.

“Kaedah simpanan di Simpan SPPN lebih baik kerana menawarkan banyak manfaat termasuk perlindungan takaful dan insentif berbanding pemberian tunai,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Rumah Kasih Harmoni, Mohd Hafiz Shafie merakamkan penghargaan kepada PTPTN yang menyalurkan sumbangan berbentuk tabungan yang boleh digunakan untuk pendidikan anak-anak jagaan di pusat penjagaan tersebut.

Selain itu katanya, bantuan kewangan RM5,000 yang diterima akan digunakan untuk manfaat penghuni pusat jagaan yang berusia antara empat tahun hingga 12 tahun.

“Sumbangan yang diterima sedikit sebanyak membantu menampung operasi Rumah Kasih Harmoni dan akan diuruskan sebaiknya untuk kebajikan anak-anak di sini.

“Alhamdulillah, operasi kami dibantu hasil sumbangan orang ramai dan setakat ini mencukupi bagi menampung perbelanjaan rumah jagaan,” katanya.

Berita Bersatu

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!