fbpx
Home » DUN Sarawak: Pindaan RUU Kanun Tanah tidak menguntungkan rakyat Sarawak – Chong
Am Berita Dalam Negara

DUN Sarawak: Pindaan RUU Kanun Tanah tidak menguntungkan rakyat Sarawak – Chong

KUCHING: Usaha Kerajaan Sarawak untuk meminda definisi ‘tanah’ di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah tidak akan memberi keuntungan kepada rakyat negeri itu.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen, kerajaan negeri telah mewujudkan pertindihan hak ke atas spektrum mengakibatkan syarikat telekomunikasi yang terlibat membayar hak spektrum dua kali kepada Kerajaan Pusat dan negeri.

Situasi ini katanya mengakibatkan peningkatan kos kepada syarikat telekomunikasi yang terbabit secara tidak langsung memberi kesan kepada pengguna iaitu rakyat di Sarawak secara keseluruhan.

“Perundangan yang diluluskan ini akan mewujudkan dua badan berbeza untuk menguruskan penggunaan hak spektrum daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan sebuah badan yang ditubuhkan kerajaan negeri antaranya melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) atau Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak,” katanya dalam satu sidang media di DUN Sarawak pada Rabu.

Pengerusi DAP itu memberitahu, secara prinsipnya, kapasiti pengguna di Sarawak yang rendah tidak memungkinkan syarikat telekomunikasi untuk mengurangkan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna.

“Kita hanya mempunyai kira-kira tiga juta penduduk berbanding Semenanjung lebih 20 juta penduduk, jadi skala ekonomi itu lebih menarik buat syarikat telekomunikasi sekali gus mengurangkan kos untuk pemasangan perkhidmatan telefon di Semenanjung.

“Saya cadangan agar kerajaan negeri membawa usul pindaan RUU Kanun Tanah ini kepada pihak di kabinet persekutuan dahulu agar ia dapat diselesaikan terus tanpa perlu melalui pintu belakang seperti ini, bukan ini kuasa autonomi yang rakyat mahukan,” katanya.

Terdahulu, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Undang-undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Sementara itu, Adun Ba’kelalan yang juga pemimpin Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baru Bian menyokong pindaan RUU tersebut.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan pindaan itu yang dilihat bercanggah dengan Akta Laut Wilayah 2012 yang masih berkuat kuasa.

“Saya ingin membangkitkan beberapa soalan kepada menteri untuk menjelaskan beberapa perkara berkenaan pindaan RUU ini.

“Di bawah definisi ‘tanah’ antaranya mendefinisikan ‘tanah yang meliputi kawasan perairan di dalam had kawasan Sarawak.

“Saya ingin (tahu) mengenai pendirian kerajaan negeri terhadap Akta Laut Wilayah 2012 kerana akta yang sama masih berkuat kuasa dan tidak pernah terbatal yang mana telah mengehadkan perairan wilayah kita kepada tiga batu nautika dan bukannya 12 batu nautika,” jelas beliau.

-astroawani

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!