fbpx
Home » Hotel Grand Seasons bertukar wajah jadi markas bantu penduduk ibu kota
Berita Tempatan Viral

Hotel Grand Seasons bertukar wajah jadi markas bantu penduduk ibu kota

KUALA LUMPUR: Hotel Grand Seasons yang ditutup sejak dua tahun lalu kini berubah wajah menjadi pusat sehenti pelbagai guna yang menjadi ‘markas utama’ bagi membantu penduduk di ibu negara.

Kira-kira 300 buah bilik di hotel bertaraf empat bintang itu kini berfungsi sebagai dapur, bank makanan, bilik penginapan, pusat gerakan jejak prihatin, khidmat kesihatan mental dan pusat vaksinasi kepada warga kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam perkongsian di Facebooknya berkata, pusat sehenti pelbagai guna yang dikenali sebagai Rumah Pr[email protected] Seasons itu bakal menyalurkan bantuan kepada ribuan individu termasuk untuk tujuan penginapan.

“Hari ini, Hari Raya Aidiladha yang paling sunyi buat saya. Saya tidak boleh ke mana-mana.

“Namun saya bersyukur ke Rumah Prihatin, tiada cuti, tiada rehat, program kami terus berjalan,” katanya di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, beliau pada asalnya mahu mencari tempat untuk memasak sebagai dapur berpusat bagi membekalkan makanan kepada penduduk miskin dan gelandangan di bandaraya ini.

“Saya pada asalnya mencari tempat untuk memasak sahaja, kerana saya berhasrat mewujudkan Central Kitchen ‘to feed urban poor and homeless’ kepada 200 gelandangan yang kita selamatkan di sekitar Kuala Lumpur,” kata beliau.

Beliau kemudian berasa lega apabila seorang rakan lamanya, Datuk Arif Shah Omar Shah memaklumkan bahawa seorang pemilik sedia menyerahkan bangunan itu untuk digunakan bersama 300 bilik dan kemudahan sedia ada.

“Saya menulis surat rasmi kepada tuan punya bangunan dan terangkan idea saya. Saya cadangkan untuk laksana enam program menggunakan bangunan yang ada dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dan PERMAI.

“Alhamdulillah, beberapa hari kemudian saya mendapat jawapan hitam putih dari pemilik bangunan, memberi persetujuan kepada cadangan saya itu,” tambah beliau lagi.

Annuar juga menyatakan kesyukuran kerana ada kepakaran di sebuah hotel milik Perbadanan Putrajaya.

“Jadi saya minta bantuan kepakaran mereka dan dalam masa dua minggu semua kerja selesai,” katanya dalam hantaran itu lagi.

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!