fbpx
Home » Hujan batu landa ibu negara semalam
Berita Dalam Negara

Hujan batu landa ibu negara semalam

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di ibu negara dilanda hujan batu dan angin kencang bermula 4 petang semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan hari ini berkata berdasarkan imej radar dan satelit, awan hujan dan ribut petir aktif mula dicerap memasuki Kuala Lumpur sekitar 3.30 petang.

“Kejadian hujan batu adalah fenomena biasa di negara kita yang mana ia berlaku ketika ribut petir yang kuat berserta hujan lebat dan angin kencang.

“Apabila awan kumulonimbus yang aktif mencapai ketinggian 12 kilometer (km), suhu udara di dalam awan melepasi nilai ambang tahap beku dan pembentukan ketulan ais di atas lapisan itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan ais yang terbentuk di dalam awan turun bersama hujan sebagai ketulan ais yang tidak sempat mencair sebelum sampai ke tanah dan titisan hujan yang terbentuk sebagai gumpalan air batu kebiasaannya bersaiz kecil sekitar 1.5 sentimeter iaitu sebesar guli.

Kejadian hujan batu lazimnya berlaku setempat (localised) iaitu kawasan yang berada di bawah awan kumulonimbus. Tempoh kejadian hujan batu juga agak singkat iaitu sekitar 10 hingga 20 minit sahaja.

Semalam METMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir pada jam 2.55 petang meliputi kawasan Kuala Lumpur dan amaran berkuat kuasa sehingga 6 petang semalam.

Orang ramai boleh melayari laman web, aplikasi mobil dan media sosial rasmi myCuaca serta orang awam juga boleh menghubungi talian hotline METMalaysia bagi sebarang pertanyaan lanjut.

BH

Semua Topik

error: Content is protected !!