fbpx
Home » Isteri hidap kanser, suami resah nasib empat anak kecil
Am Berita Dalam Negara

Isteri hidap kanser, suami resah nasib empat anak kecil

Nordin Yusup bersama isterinya, Nurhabibah Mohd Nasir bersama empat orang anak mereka. – Gambar Astro AWANI

TANJUNG KLING: Kehidupan sederhana enam beranak yang sebelum ini ceria seperti keluarga lain kini bertukar suram selepas ibu mereka disahkan menghidap dua kanser serentak sejak dua bulan lalu.

Penderitaan hidup ditanggung Nurhabibah Mohd Nasir, 35, bermula selepas dia kini hanya terlantar dan tidak lagi mampu menguruskan empat anak yang masih kecil sejurus disahkan menghidap kanser hati dan usus.

Situasi itu menyebabkan suaminya Nordin Yusup, 42, yang sebelum ini hanya meraih pendapatan sebagai nelayan tidak lagi mampu turun ke laut bagi mencari sesuap nasi kerana perlu menguruskan isteri kesayangan serta empat anak kecil yang berusia 9,7,4 tahun dan 18 bulan.

Menceritakan kesulitan hidup yang dilalui, Nordin berkata, isterinya yang sebelum ini menguruskan kehidupan dia bersama empat anak secara tiba-tiba rebah 5 April lalu sebelum mengalami strok ringan dan dikejarkan ke Hospital Melaka.

“Apabila kesihatan isteri saya semakin merosot dan disahkan menghidap dua kanser serentak di tahap empat, saya terpaksa menguruskannya dan tidak dapat turun ke laut seperti biasa sehinggakan anak-anak saya juga tidak dapat pergi ke sekolah.

“Isteri saya beberapa kali terpaksa di tahan di wad Hospital Melaka dan ada kala terpaksa ke Hospital Kuala lumpur yang mana buat masa sekarang ibu saudara saya yang bantu tengokkan anak-anak apabila saya perlu menjaga isteri di hospital,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu saudaranya di Kampung Pantai Kundor, di sini.

Bercerita lanjut Nordin berkata, mereka sekeluarga sebelum ini menyewa di Kampung Sri Tanjung, di sini dengan bayaran RM400 sebulan.

Namun, selepas isterinya jatuh sakit, segalanya berubah sehinggakan dia tidak mampu membayar sewa rumah dan menyebabkannya terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya.

“Kalau sebelum ini saya mampu menyara isteri dan empat anak dengan pendapatan saya sebagai nelayan dan mereka tidak pernah lagi terputus makanan mahupun keperluan susu atau lampin pakai buang untuk anak-anak saya yang masih kecil.

“Namun, sekarang ini kalau saya turun ke laut siapa yang akan uruskan isteri saya. Jadi, hati suami mana yang sanggup tengok isteri menahan sakit dan saya cuma mampu berdoa Allah angkat lenyapkan keperitan yang sedang kami tanggung ketika ini,” katanya sambil menyeka air mata.

Jelas Nordin, selain keperluan anak-anak, dia juga perlu memikirkan kos perubatan dan susu khas untuk isterinya yang tidak lagi boleh makan dan minum seperti biasa ketika ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi yang turut menziarahi enam beranak itu berkata, pihaknya akan menyalurkan segala bantuan termasuk kewangan, keperluan lampin pakai buang dan susu formula untuk isteri serta anak kecil mereka.

Katanya, Jawatankuasa Penyelaras Dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) juga akan membiayai kos pengangkutan ambulans bagi membawa Nurhabibah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Nurhabibah di talian 011-20873302 atau menerusi akaun bank 0410929000014387 (Bank Simpanan Nasional).

AWANI

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!