fbpx
Home » Kerajaan laksana pembenihan awan bantu pesawah
Berita Tempatan Pertanian

Kerajaan laksana pembenihan awan bantu pesawah

Naib Presiden BERSATU merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

IPOH, 11 Jun – Kerajaan bersetuju melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di kawasan tadahan empangan Bukit Merah, Semanggol Kerian, bagi mengatasi isu bekalan air untuk sistem pengairan sawah.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sistem pengairan yang terjejas itu meliputi 19,058 hektar sawah di bawah Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan sebahagian kawasan IADA Pulau Pinang di Sungai Acheh seluas 1,267 hektar.

“Subsektor yang turut mendapat manfaat daripada usaha ini, selain 8,889 orang pesawah di kawasan IADA Kerian dan 1,267 orang pesawah dari kawasan IADA Pulau Pinang, adalah sektor perikanan dan perkilangan,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Menurut Ronald, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi-agensi berkaitan dijangka melaksanakan OPA selama tiga hari pada 14 hingga 16 Jun ini, bergantung pada keadaan awan dan kelembapan yang sesuai.

“OPA ini merupakan satu proses untuk menggalakkan pembentukan awan hujan susulan daripada isu penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah yang menjadi sumber utama pengairan pertanian di kawasan tersebut yang mencapai kategori Kritikal Pengairan Tahap 3 iaitu 6.10 meter (20.00 kaki).

“MAFI juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), MET Malaysia, kerajaan Negeri Perak dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk mencari kaedah jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu air ini,” katanya.

Jumaat lepas media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata pihaknya yakin proses pembenihan awan dapat membantu menurunkan hujan di kawasan terjejas.

Berita Bersatu

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!