fbpx
Home » Kerajaan Sabah pimpinan GRS tidak terkesan dengan pembubaran Parlimen – Hajiji
Berita Tempatan Politik

Kerajaan Sabah pimpinan GRS tidak terkesan dengan pembubaran Parlimen – Hajiji

blank
HAJIJI: Mandat kami adalah lima tahun dan tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh melengkapkan penggal tersebut. - Gambar fail BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditubuhkan pada 26 Sept tahun lalu selepas Pilihan Raya Negeri tidak akan terjejas, walaupun Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata kerjasama parti dalam gabungan itu dilihat tetap utuh dan semangat berpasukan akan diteruskan bagi menerajui kerajaan negeri hingga cukup satu penggal sehingga 2025.

“Ya. Mandat kami (GRS) adalah selama lima tahun dan tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh melengkapkan penggal tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita apakah GRS akan terus kekal memerintah sekiranya kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengadakan PRU15.

GRS terdiri daripada parti komponen Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS); Barisan Nasional (UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah, MCA, MIC) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Pada 26 Sept lepas GRS secara rasmi membentuk kerajaan negeri setelah memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 dengan memenangi 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri.

— BERNAMA

Jangan lupa untuk like, comment dan share media sosial kami! Terima kasih.

FACEBOOK TWITTER INSTAGRAM LINKEDIN JOINCHAT

About the author

blank

SBN Admin

Add Comment

Click here to post a comment

Semua Topik

error: Content is protected !!