fbpx
Home » Kes HFMD meningkat enam kali ganda di Pahang
Am Berita Dalam Negara

Kes HFMD meningkat enam kali ganda di Pahang

KUANTAN: Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini mencatatkan peningkatan enam kali ganda sehingga kelmarin.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 1,288 kes telah dicatatkan berbanding 190 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Daripada keseluruhan kes, sebanyak 138 kes atau 10.7 peratus adalah kes yang dikenal pasti hasil dari penularan yang berlaku di 27 buah taska, tadika dan pra sekolah, manakala 1,150 kes atau 89.3 peratus kes berlaku secara sporadik,” katanya dalam satu kenyataan rasmi berkaitan penularan penyakit berkenaan, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, tiada rawatan khusus atau rawatan alternatif untuk merawat jangkitan HFMD dan kebiasaannya jangkitan adalah ringan.

Menurutnya, jika pesakit mengalami demam, antipyretic akan diberikan sebagai rawatan bagi mengurangkan gejala yang dialami pesakit.

“Saya ingin menasihatkan pesakit agar minum banyak air kosong untuk mengelakkan dehidrasi sepanjang tempoh jangkitan selain mendapatkan rehat secukupnya serta amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) juga ingin menasihatkan ibu bapa agar tidak terpedaya dengan promosi rawatan alternatif bagi menyembuhkan HFMD,” katanya.

Tegasnya, nasihat yang tepat serta sahih hanya boleh diperoleh daripada pegawai perubatan dan anggota kesihatan.

Sementara itu, Nor Azimi mendedahkan kes HFMD masih menunjukkan trend meningkat berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh JKNP pada minggu ini.

Beliau turut berharap agar ibu bapa, penjaga mahupun pengusaha taska, tadika atau pra sekolah mengambil langkah-langkah pencegahan terutamanya aspek penjagaan kebersihan dalam pengurusan kanak-kanak.

-astroawani

Semua Topik

error: Content is protected !!