fbpx
Home » KKM risau peningkatan kes COVID-19 di Malaysia
Covid-19 Covid-19 & Vaccinations Kesihatan

KKM risau peningkatan kes COVID-19 di Malaysia

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata KKM juga sedang melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memanjangkan waktu operasi beberapa klinik kesihatan sebagai langkah mengatasi kesesakan di hospital.

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali meluahkan kebimbangan apabila jumlah kes COVID-19 di Malaysia dilihat meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, kadar kebolehjangkitan negara kini berada pada paras 1.12 dengan jumlah kes baharu, kemasukan ke hospital dan penggunaan bantuan alat pernafasan turut sama meningkat.

Begitupun, katanya, kadar kematian masih pada tahap yang rendah namun pada masa sama, beliau menegaskan KKM sudah bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan.

“Kita nasihatkan kepada rakyat, kes yang tidak kecemasan, jangan pergi ke hospital tapi boleh pergi ke klinik kesihatan.

“Dari segi persiapan, kita bimbang COVID-19, influenza, persiapan di hospital, menang ada kita tingkatkan kesiapsiagaan seperti tingkatkan jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), ventilators (alat bantuan pernafasan) dan ubat-ubatan, semua dalam keadaan bersiap sedia.

“Kita dah buat perkara itu dan juga dari segi testing. Memang ada tindakan telah dibuat untuk mengurangkan kesesakan di hospital,” katanya.

Tambah beliau, KKM juga sedang melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memanjangkan waktu operasi beberapa klinik kesihatan sebagai langkah mengatasi kesesakan di hospital.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi: Kesihatan Ibu dan Anak (NHMS MCH) di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan pengumpulan data tersebut akan berlangsung selama tiga bulan bermula 9 Ogos hingga 31 Oktober 2022 dengan melibatkan 14,000 isi rumah di seluruh negara.

Jelasnya, beliau menjangkakan kira-kira 32,000 responden akan ditemu ramah dengan rumah responden akan dipilih secara rawak mengikut data disediakan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Sebanyak 70 pasukan pengumpul data akan menjalankan aktiviti pengumpulan data secara serentak.

“Setiap pasukan bergerak menggunakan sebuah kenderaan berpelekat rasmi NHMS MCH dengan masing-masing seorang penyelia lapangan, seorang jururawat dan dua orang penemu ramah terlatih.

“Semasa aktiviti pengumpulan data, ahli pasukan pengumpul data akan melawat rumah rumah terpilih. Aktiviti pengumpulan data ini melibatkan temu ramah bersemuka dan pengisian borang soal selidik jawab sendiri.

“Ia juga melibatkan pemeriksaan rekod kad kehamilan dan kad imunisasi kanak-kanak serta pemeriksaan kesihatan bagi kanak-kanak seperti pengukuran antropometri dan perkembangan kanak-kanak,” ujarnya.

Tambah beliau, hasil tinjauan dijangka dapat membekalkan data berasaskan bukti menyeluruh berkaitan tahap kesihatan wanita, ibu dan kanak-kanak, bagi membolehkan KKM menilai program kesihatan sedi ada untuk penambahbaikan.

Berita Bersatu

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!