fbpx
Home » MAFI perkasa tindakan untuk rancakkan pertumbuhan industri
Berita Tempatan Pertanian

MAFI perkasa tindakan untuk rancakkan pertumbuhan industri

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

PAITAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengolah pelbagai tindakan dan langkah bagi memastikan bekalan makanan dapat dirancakkan melalui pertumbuhan industri dan dasar baharu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, usaha itu juga dilaksanakan untuk menambahbaik dasar sedia ada dalam menggalakkan penanaman yang sebelum ini tidak diberi tumpuan.

Katanya, ia termasuk penanaman jagung bijiran untuk menampung kekurangan dan kenaikan kos pengimportan dari negara luar.

“MAFI sentiasa melihat dan mengkaji dasar sedia ada dan menumpukan penambahbaikan dasar untuk memastikan kemampanan bekalan makanan negara.

“Langkah ini dibuat berdasarkan faktor-faktor dalaman dan luaran yang mencabar kepada pengeluaran bahan makanan bukan sahaja negara tetapi keseluruhan negara di dunia.

“Justeru kita harapkan pembukaan sempadan negara akan merancakkan sektor agro makanan negara,” katanya kepada media selepas majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau kawasan Sugut Sempena Ramadan di Pentas Terbuka Pejabat Daerah Kecil Paitan di sini semalam.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, MAFI sentiasa menggalakkan pertumbuhan industri melalui Dasar Agromakanan 2.0 yang dilancarkan MAFI dengan menumpukan kepada pemodenan sektor agro makanan.

Selain itu katanya, pertumbuhan industri hiliran dalam sektor agro makanan turut bakal dirancakkan menjelang 10 tahun akan datang.

Menurutnya, ia akan meletakkan sektor berkenaan sebagai penyumbang pertumbuhan  ekonomi dan pengeluaran makanan yang mampan dan memastikan keselamatan makanan negara sentiasa terjamin walaupun dalam keadaan faktor dalaman dan luaran yang dihadapi oleh negara.

Beliau berkata, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan menerusi pelaksanaan fasa peralihan ke endemik COVID-19 bermula 1 April lepas membolehkan pembukaan sempadan negara memberi impak dan rangsangan kepada pengusaha, peladang, penternak, dan nelayan bagi menjalankan aktiviti pengeluaran mereka pada kadar kapasiti lebih besar.

“Pertumbuhan ekonomi ini merancakkan pertumbuhan sektor agro makanan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kita harapkan agar aktiviti ini membuka peluang lebih luas untuk masyarakat luar datang ke negara kita.

“Ia juga akan meletakkan keadaan ekonomi negara sebelum 2020 sekali gus mengembalikan sumber pendapatan dalam kalangan penternak, peladang dan juga nelayan negara kita,” katanya.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Samad Jambri dan Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Bahagian Paitan Mohd Hadi Mohd Said.    

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!