fbpx
Home » Malaysia Hab Terbiodegradasi Utama Asia Tenggara
Berita Tempatan Pertanian

Malaysia Hab Terbiodegradasi Utama Asia Tenggara

Majlis Pecah Tanah Kilang Hotpack Packaging Ind. LLC (Hotpack) di Kawasan Perindustrian Berat Gurun di sin hari ini. Hadir sama Timbalan Menteri MAFI, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh bersama dua Exco Kerajaan Negeri iaitu Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail serta Azman Nasrudin.

GURUN, 21 April – Pelaburan berjumlah RM400 juta oleh syarikat Hotpack Packaging Industries LLC (Hotpack) yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke negara ini diyakini mampu menjadikan Malaysia sebagai hab terbiodegradasi utama di Asia Tenggara.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kerjasama dijalin Hotpack yang merupakan salah sebuah pengeluar dan pengedar bahan pembungkusan makanan terbesar di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk GCC itu bersama syarikat tempatan, Free The Seed Sdn. Bhd.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiande

Katanya, kerjasama itu bakal membuka jalan kepada negara ini menjadi hab terbiodegradasi terkemuka di Asia Tenggara.

Selain itu, katanya, kepercayaan dan keyakinan ditunjukkan Hotpack terhadap syarikat tempatan juga membuktikan betapa Malaysia memiliki nilai pertanian yang bernilai tinggi serta inovatif.

“Difahamkan, pelaburan ini bernilai RM100 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun pertama dan Hotpack merancang untuk meningkatkan nilai pelaburannya kepada RM400 juta dalam tempoh 10 tahun.

“Kerjasama ini melibatkan 10 kilang pembuatan bungkusan terbiodegradasi di Gurun. Kilang pertama seluas 3,200 meter persegi akan bermula pada Mei 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kilang Hotpack Packaging Ind. LLC (Hotpack) di Kawasan Perindustrian Berat Gurun di sin hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri MAFI, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh bersama dua Exco Kerajaan Negeri iaitu Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail serta Azman Nasrudin.

Kerjasama tersebut terjalin hasil padanan perniagaan diusahakan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) semasa Minggu Pertanian Lestari MAFI pada Expo 2020 Dubai yang berlangsung antara 20 hingga 26 Februari lalu.

Mengulas lanjut, katanya, pelaburan tersebut dijangka mewujudkan 300 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun pertama sebelum meningkat kepada 1,200 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun melibatkan tenaga kerja mahir dan separa mahir.

Sementara itu, Pengerusi Bioeconomy Corporation, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memaklumkan, melalui kerjasama itu, Free The Seed akan menggunakan teknologi enzim proprietari dimilikinya untuk memproses sisa pertanian bagi menghasilkan produk-produk terbiodegradasi baharu bagi pasaran global Hotpack termasuk di negara-negara GCC.

“Free The Seed selama ini menggunakan bioteknologi enzim proprietari bagi mengubah sisa jerami padi kepada pelbagai bungkusan terbiodegradasi untuk barang pengguna cepat laris (FMCG), perubatan dan perindustrian. Teknologi tempatan inilah yang menarik minat Hotpack untuk bekerjasama dengan mereka.

“Selain menghasilkan produk terbiodegradasi baharu, Free The Seed juga menyediakan kepakaran, tenaga kerja dan pengetahuan teknikal mereka untuk Hotpack melalui kerjasama ini,” katanya.

BeritaBersatu

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!